Skuad kebangsaan UAE kini berada di Kuala Lumpur sejak kelmarin melakukan persiapan awal bagi menghadapi Malaysia dalam pusingan kedua kempen kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 September ini.
Mereka dilihat berlatih di padang latihan Sime Darby di Bukit Jelutung dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada sebelah malam.
Penyelia pasukan tersebut, Dr. Hassan Suhail menjelaskan mereka perlu tiba lebih awal bagi membiasakan diri dengan keadaan cuaca dan padang di Malaysia. Menurutnya, langkah itu juga adalah untuk memastikan pemainnya lebih bersedia dari segi fizikal dan mental kerana skuad Harimau Malaya bukan lawan yang mudah.
“Semua orang tahu perlawanan pertama dalam kempen kelayakan ini sangat penting. Saya fikir jika kami mencapai keputusan yang positif ke atas Malaysia, ia akan menjadi motivasi yang kuat kepada pemain untuk mara ke peringkat yang seterusnya.
“Kami telah menyenaraikan beberapa pemain yang berkualiti dan berpengalaman serta berharap mereka dapat mempamerkan persembahan yang cemerlang di atas padang,” katanya seperti dipetik dalam laman web rasmi UAE FA.
Pengendali skuad itu, Bert Van Marwijk berazam untuk membawa negara teluk itu layak ke temasya Piala Dunia setelah kali terakhir mereka beraksi di pentas tersebut pada edisi 1990 di Itali.
Marwijk pernah membimbing Arab Saudi (2018) dan Belanda (2010) mara ke kejohanan terbesar dalam sukan bola sepak itu selain menjadi ketua jurulatih Australia ketika Piala Dunia 2018. Pada Mac 2019, beliau diberi tanggungjawab untuk mengendalikan UAE dan berazam untuk membantu pasukan barunya layak ke temasya yang akan diadakan di Qatar pada 2022 nanti.
Untuk aksi menentang Malaysia, mereka telah membawa 26 pemain ke Kuala Lumpur. Antara pemain yang dipilih dalam senarai tersebut ialah bintang bola sepak Asia, Omar Abdul Rahman dan penyerang prolifik, Ali Mabkhout.
12 daripadanya merupakan pemain skuad Piala Asia 2019 UAE manakala baki 14 pemain dipilih berdasarkan prestasi semasa dalam saingan liga domestik.
Kem latihan pusat UAE bermula sejak 25 Ogos lalu di Bahrain dan mereka telah mengaturkan dua perlawanan persahabatan di sana menentang pasukan Republik Dominican (4-0) dan Sri Lanka (5-1).
Pengurus pasukan tersebut, Ismail Rashid menyifatkan pemilihan dua pasukan itu adalah tepat kerana mereka berada sama taraf dengan Malaysia yang kini berada di ranking 159 dunia.
SENARAI 26 PEMAIN SKUAD KEBANGSAAN UAE
Penjaga gol: Ali Khasif, Khalid Issa, Mohammed Al Shamsi
Pertahanan: Hassan Al Mahrami, Salem Rashid, Khalifa Al Hammadi, Mohammed Al Attas, Al Hassan Saleh, Walid Abbas, Mohammed Shaker, Bandar Al Ahbabi, Hamdan Al Kamali, Mohammed Barghash,
Tengah: Khalfan Mubarak, Omar Abdul Rahman, Ahmed Berman, Khalil Al Hammadi, Majid Sorour, Tariq Ahmed, Ismail Al Hammadi, Habib Al Fardan,
Penyerang: Ali Mabkhout, Zayed Al Ameri, Jassim Yacoub, Ali Saleh, Ali Salmeen
Tahukah anda, tiket perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang UAE kini boleh dibeli secara dalam talian. Baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.
Tiket Perlawanan Malaysia Bertemu UAE Sudah Mula Dijual Secara Online Hari Ini