Bek kanan Newcastle United, Kieran Trippier menolak sekeras-kerasnya tanggapan ramai yang mengatakan bahawa beliau memilih untuk menyertai kelab tersebut kerana hanya memikirkan soal wang.

Newcastle United secara tiba-tiba menjadi tumpuan dunia apabila gandingan Public Investment Fund (PIF) bersama PCP Capital Partners LLP dan RB Sports & Media sah menjadi pemilik baharu kelab pada Oktober tahun lalu daripada Mike Ashley.

Keadaan itu menjadikan Trippier sebagai rekrut pertama The Magpies pasca pengambilalihan tersebut dan sudah pasti banyak kecaman diterimanya kerana beliau meninggalkan Atletico Madrid untuk bersama kelab yang pada ketika itu berada di zon penyingkiran.

Sehubungan dengan itu, pemain berusia 31 tahun tersebut juga mengakui bahawa beliau mempunyai sebab tersendiri untuk kembali semula ke ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tiga musim.

“Ia tidak menjengkelkan saya. Bagi saya, ia tidak langsung menganggu. Saya tahu sebab utama mengapa saya kembali dan ternyata wang bukanlah penyebabnya,” ujar Trippier menurut sumber laporan Goal.

“Jika ya [memikirkan soal wang], saya akan terus kekal di Madrid. Saya tidak terlalu memikirkannya. Saya hanya teruja dengan semua perkara, untuk kembali semula ke England dan bermain di Liga Perdana Inggeris.”

“Saya tahu sebab mengapa saya kembali, untuk tinggal di utara dan untuk keluarga saya, dan sudah tentu juga dengan projek kelab ini. Saya bercakap dengan pengurus, pemilik pasukan tentang hala tuju yang mereka mahukan kelab ini pergi.”

“Ia sangat mengujakan dan bagi saya ia sangat mustahil untuk saya kembali ke England.”

“[Mehrdad Ghodoussi] merupakan seorang yang sangat baik. Kami bercakap tentang hala tuju kelab dan kami semua perlu menyedari bahawa ia adalah proses pembinaa kelab.”

“Perkara yang paling penting buat kami adalah untuk kekal dalam liga pada musim ini,” tambah Kieran Trippier lagi.

Trippier beraksi cemerlang pada lima perlawanan awal bersama Newcastle United yang menyaksikan beliau berjaya menjaringkan dua gol.

Namun, pemain skuad kebangsaan England itu berkemungkinan terpaksa diketepikan sehingga akhir musim akibat patah tulang metatarsal sewaktu aksi menentang Aston Villa.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Selangor MAC Terus Unggul, Muncul Juara MPFL 2022

Kemelut Memalukan Berakhir, PAFA Digantung Enam Bulan

Kerajaan Mexico Diminta Telus Dalam Laporan Tragedi Berdarah Liga MX

Sumber