Selangor MAC tidak perlu menunggu sehingga aksi terakhir berdepan Pahang Rangers pada hujung minggu nanti apabila sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 menjadi milik mereka, malam tadi.
Kejayaan yang mengulangi pencapaian edisi 2019 itu menjelma selepas skuad kendalian Addy Shairullyzam Shafie tersebut berjaya menundukkan Shah Alam City 1-0 hasil jaringan tonggak import, Matheus Vasconcelos Silva pada minit ke-16.
Kemenangan penting di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam itu juga memastikan seteru utama, Pahang Rangers sekali lagi berputih mata apabila mereka turut menamatkan saingan di kedudukan kedua pada edisi sulung [2019] lalu.
Meskipun kejuaraan sudah pun disahkan oleh Selangor MAC, tetapi pertemuan menentang Pahang Rangers pada Ahad ini tetap menjanjikan aksi terbaik daripada kedua-dua pasukan.
Di samping memegang status sebagai dua pasukan gergasi kancah futsal tanah air, kualiti hebat dimiliki para pemain Selangor MAC dan Pahang Rangers akan membuatkan penyokong menantikan perlawanan tersebut.
Malah, dua pemain Selangor MAC iaitu Ekmal Shahrin dan Matheus juga sedang bersaing bersama ayam tambatan Pahang Rangers, Ridzwan Bakri dalam memburu gelaran pemenang kasut emas. Ekmal dan Matheus sedang terikat dengan 14 gol manakala Ridzwan yang juga merupakan pemain kebangsaan hanya ketinggalan dua jaringan.
Ketika empat pasukan teratas Selangor, Pahang Rangers, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sudah mengesahkan tempat untuk beraksi dalam saingan Piala Futsal Malaysia, baki empat lagi slot menyaksikan menjadi rebutan lapan pasukan lagi.
Sementara itu, saingan wanita pula akan membuka tirainya bermula esok hingga 23 Mac dimana menampilkan Melaka, Kuala Lumpur, Selangor MPSJ, Sabah, PDRM dan KL Prefer-Cyberlynx.
Baca artikel lain mengenai perkembangan futsal seluruh dunia:
MPFL 2022: Persaingan Sengit Penentuan Juara Semakin Mendebarkan
Nafikan Hasrat Argentina, Portugal Muncul Juara Piala Dunia Futsal 2021
Trofi Piala Dunia Futsal Pelengkap Karier Gemilang Ricardinho