Saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 yang semakin menghampiri penghujung dengan hanya berbaki dua sirkit menyaksikan dua pasukan pilihan iaitu Selangor MAC dan Pahang Rangers menepati ramalan awal bersaing hebat sesama sendiri untuk bergelar juara saingan futsal paling berprestij tanah air itu.
Selangor MAC kini mendahului carta liga dengan 30 mata, berkelebihan satu mata di hadapan Pahang Rangers tetapi skuad kendalian Addy Shairullyzam Shafie itu masih kekurangan satu perlawanan berbanding pencabar terdekat mereka itu.
Daripada tiga perlawanan terakhir yang bakal dilalui, juara edisi 2019 itu hanya perlu mencatatkan kemenangan bertemu Selangor TOT United pada 5 Mac dan kemudiannya Shah Alam City, minggu hadapan untuk mengesahkan kejuaraan tanpa perlu menantikan aksi terakhir menentang Pahang.
Namun, dalam sukan apa sahaja boleh berlaku dan itu sudah pastinya diharapkan oleh Pahang Rangers agar lawan tersebut keciciran mata manakala anak buah Gerard Casas itu perlu mengutip mata penuh pada baki dua perlawanan.
Ketika tumpuan terarah kepada dua pasukan pilihan tersebut, Negeri Sembilan turut memiliki sekelumit peluang untuk bergelar juara sekiranya mereka mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut [bertemu ATM, Kedah dan Selangor TOT United] dan mengharapkan ‘keajaiban’ yang tidak memihak Selangor MAC dan Pahang Rangers berlaku tanpa disangka-sangka.
Bagaimanapun tanpa mahu menidakkan keupayaan mana-mana pasukan tetapi berdasarkan prestasi semasa dan kemampuan para pemain berkualiti yang dimiliki Selangor MAC, mereka kelihatan seperti berada di landasan tepat untuk sekali lagi menjulang trofi MPFL 2022.
Walau apa yang terjadi pada baki tiga perlawanan ini, ia sememangnya merupakan senario yang cukup menarik untuk disaksikan seluruh peminat futsal tanah air apatah lagi sudah dua musim mereka merindui saingan ini.
Ia juga memberikan indikasi jelas bahawa saingan futsal di Malaysia begitu kompetitif dan perlu dipandang serius oleh pihak bertanggungjawab dalam menaikkan lagi imej sukan lima sebelah ini ke tahap lebih tinggi.
Manakala pasukan yang bertanding pula perlulah melakukan persiapan dengan lebih rapi dan tidak memandang penglibatan dalam MPFL sebagai pelengkap kuota supaya dapat menjaga kualiti pertandingan serta menjadi pentas dalam melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu diketengahkan sehingga ke skuad futsal kebangsaan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan futsal seluruh dunia:
Trofi Piala Dunia Futsal Pelengkap Karier Gemilang Ricardinho
Nafikan Hasrat Argentina, Portugal Muncul Juara Piala Dunia Futsal 2021
Peminat Kini Boleh Menonton Siaran Langsung Perlawanan Liga Futsal Malaysia Di Saluran TV9