Tarikh baharu sepak mula saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2021 masih belum dapat dipastikan apabila kerajaan Malaysia mengumumkan kembalinya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di hampir seluruh negara.
Namun, perkara tersebut tidak menjadi penghalang kemeriahan dan kehangatan pra-musim liga tersebut apabila dikhabarkan empat pasukan bakal diperkuatkan dengan kehadiran pemain import.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Selangor MAC bersama-sama pencabar terdekat, Pahang Rangers, Sabah dan Pulau Pinang mengambil langkah tersebut dalam usaha memburu kejuaraan musim ini.
Lebih menarik untuk diperkatakan, pemain yang bakal direkrut bukanlah calang-calang pemain kerana Selangor MAC bakal membawa masuk pemain dari Iran, Mohammad Geravand.
Pemain berusia 25 tahun itu pernah mewakili skuad kebangsaan Iran seawal usia 19 tahun dan Asia Tenggara bukanlah asing buat beliau apabila beliau beraksi bersama pasukan Liga Pro Indonesia, Bintang Timur Surabaya.
Geravand beraksi cemerlang membantu Selangor MAC mengikat skuad futsal kebangsaan pada perlawanan persahabatan di Subang Jaya, tempoh hari.
Sementara itu, Pahang Rangers yang dibarisi himpunan bintang futsal tanah air dilaporkan bakal diperkuatkan dengan kehadiran penjaga gol O Parrulo Ferrol FS, Victor Nesello Espindola.
O Parrulo Ferrol merupakan kelab dalam saingan liga futsal utama di Sepanyol di mana liga tersebut turut menampilkan gergasi futsal Eropah seperti Barcelona dan Inter FS.
Selain itu, Rudimar Venancio atau lebih mesra dengan panggilan Xapa dari Brazil sudah menyertai sesi latihan bersama skuad futsal Sabah.
Xapa hadir dengan reputasi hebat apabila berjaya menjadi tonggak kepada PTT Bluewave Chonburi menjuarai Kejuaraan Futsal Kelab AFC sebanyak dua kali dan turut memenangi kejuaraan sama bersama kelab Iran, Giti Pasand Isfahan.
Bagi Pulau Pinang yang dijangka tampil dengan lebih garang pada musim ini bakal mendapat sentuhan daripada bintang ternama Indonesia, Bambang Bayu Saptaji.
Bayu Saptaji adalah seorang pemain yang hadir dengan reputasi cukup besar di negara kelahirannya dan kualiti hebat dimilikinya terutama dari aspek kemahiran individu bakal menjadi senjata utama buatnya.
Setakat ini, Xapa dan Geravand sudah disahkan menyertai pasukan berikutan pengumuman rasmi menerusi laman sosial kelab masing-masing. Sementara itu, Pahang Rangers dan Pulau Pinang masih ‘berahsia’ berhubung kehadiran tenaga import.
Dengan kehadiran pemain-pemain dinyatakan, saingan MPFL musim ini bakal menjanjikan sesuatu yang cukup menarik untuk disaksikan.