Peminat bola sepak Mexico meminta kerajaan Mexico agar bersikap telus dalam laporan mereka tentang tragedi di dalam stadium sehingga melibatkan nyawa melayang.

Semalam, media Mexico melaporkan bahawa 17 orang terbunuh dalam insiden keganasan penyokong di dalam stadium.

Ianya berlaku ketika aksi Queretaro menentang juara bertahan, Atlas FC game. Insiden itu berlaku ketika perlawanan tersebut turut disiarkan secara langsung.

Agak ironi kerana sebelum sepak mula, penyokong, jurulatih dan pemain pemain di dalam stadium berikrar akan menyokong keamanan dan keharmornian, tanda sokongan kepada mangsa perang di Ukraine.

Namun Ultras tak peduli sangat perkara seperti itu. Ultras Queretaro memang dianggap antara penyokong paling ganas di Mexico.

Pasukan mereka ketinggalan 0-1 pada minit ke-60 selepas gol oleh Julio Furch. Peminat mulai saling ejek mengejek antara mereka.

Tiba tiba keadaan di stadium berubah menjadi sangat tegang. Pergaduhan di antara pemain pemain di atas padang telah membangkitkan lagi api kemarahan ultras.

Tidak lama selepas itu, sekumpulan penyokong menceroboh masuk ke dalam padang. Keadaan di tempat duduk penyokong yang rata rata ramai datang dengan keluarga, wanita dan kanak kanak, telah bertukar menjadi sangat bahaya.

Ultras Queretaro kemudian membelasah sesiapa sahaja yang memakai jersi Atlas ataupun ada logo Atlas. Kelihatan ibu bapa cuba menyelamatkan anak mereka daripada tersepit dalam kekecohan tersebut.

Peralatan VAR dirosakkan dengan set monitornya sekali.

Penyokong mereka pun bertembung. Dan 17 nyawa dilaporkan melayang. Menjadikannya sebagai peristiwa hitam paling teruk dalam sejarah bola sepak Mexico. Majoriti yang meninggal dunia merupakan penyokong Atlas. Buat masa ini, sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada angka rasmi dikeluarkan.

Permusuhan di antara ultras dan juga permusuhan kedua dua pasukan memang sangat tegang.

Video pergaduhan tersebut dikongsikan di media sosial. Ini antara video yang dikongsikan di media sosial:

https://twitter.com/i/status/1500271577841037312

Namun selepas kejadian, kerajaan melaporkan bahawa tiada nyawa terkorban. Yang ada hanyalah mangsa yang dirawat di hospital atas pelbagai jenis kecederaan. Liga Mexico turut digantung buat sementara waktu.

Kemudian kerajaan memberikan amaran kepada media agar tidak membuat laporan palsu tentang kejadian tersebut.

Jurucakap kerajaan berkata: “Setakat ini tiada laporan kematian diterima. Hanya 22 orang cedera. 9 dikejarkan ke hospital umum, dan 2 daripada 9 orang ini adalah kritikal.”

“Yang lain dalam keadaan stabil. Saya boleh mengesahkan bahawa kesemua yang cedera adalah lelaki. 4 daripada mereka adalah berasal dari Jalisco.”

Amaran: Video mengandungi insiden ganas

Namun seorang daripada mangsa serangan tersebut menyatakan bahawa kerajaan menipu. Dan mangsa menyatakan bahawa ada beberapa mangsa mati kerana kekacauan penyokong di dalam stadium.

Ada yang menuduh kerajaan Mexico cuba menutup mata dunia demi menjaga imejnya sebagai penganjur Piala Dunia bersama sama dengan Amerika Syarikat dan Kanada pada 2026 kelak.

Peminat Mexico sendiri meminta FIFA membatalkan Mexico daripada senarai penganjur bersama Piala Dunia 2026 dan larangan menyertainya.