Legenda bola sepak negara, Khalid Ali beranggapan Selangor tidak sepatutnya berada pada kedudukan ketujuh kempen Liga Super Malaysia 2021 pada ketika ini jika melihatkan kepada kualiti pasukan tersebut pada musim ini.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Selangor hanya mampu mencatatkan dua kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan bagi mengumpul lapan mata, ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sementara itu, rekrut sensasi Selangor musim ini, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi juga kelihatan masih bergelut untuk mempamerkan bisa sentuhannya seperti musim lalu sehingga menjadikan beliau penjaring terbanyak dalam kalangan pemain tempatan dengan 10 gol.
Perkembangan tersebut sudah pasti menjadi masalah buat Selangor ketika kelab tersebut dilabel sebagai antara pencabar untuk merebut kejuaraan Liga Super musim ini.
Memetik laporan Berita Harian (BH) Online, Khalid yang juga merupakan bekas pemain Selangor mengakui DNA Jerman cuba diterapkan skuad bimbingan Karsten Neitzel itu tidak begitu kelihatan.
“Tak patut (Selangor berada di tangga ketujuh) sebab pemain yang mereka ada semua yang bagus iaitu pemain negara dan pemain muda yang sedang meningkat naik.”
“Sepatutnya mungkin di belakang JDT, tangga kedua atau ketiga. Saya nampak mereka boleh jadi pasukan yang baik, mantap dan pencabar.”
“Saya tak nampak DNA Jerman dalam pasukan Selangor, mungkin masa menjaringkan gol ketika berdepan JDT saya nampak.”
“Jika nak main dengan DNA Jerman, anda kena bermain 110 peratus. Anda kena bagi komitmen dari minit pertama hingga 90 minit dan anda kena betul-betul pantas dan cergas.”
“Dengan saya jangan cerita DNA Jerman, saya pernah berlatih di Jerman dan bersama dengan Karl-Heinz Weigang selama lima tahun dan kami layak ke sukan Olimpik,” ujar Khalid Ali.
Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.
Dooley, Gamel Masih Di Sri Pahang, Bakal Kemudi Skuad Piala Presiden
UiTM FC Rehatkan Frank Bernhardt Menjelang Aksi Menentang Melaka United