Esok skuad Harimau Malaya akan membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2023 menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia adalah detik yang paling dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan.
Namun begitu, bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali mempertikaikan prestasi penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei dan Hong Kong minggu lepas.
Menurut beliau, aksi De Paula tidak cukup menyakinkan walaupun pemain kelahiran Brazil itu berjaya menjaringkan satu gol penalti dan satu bantuan jaringan ketika menentang Brunei.
“Beliau tidak tahu fungsinya sebagai penyerang utama, menerima hantaran dan melakukan jaringan… mungkin sebab itu permainan beliau kucar-kacir serta tidak bagus mengawal bola dan menembus benteng pertahanan.
“Beliau hanya bagus dalam melakukan jaringan dengan satu sentuhan sahaja… itu sahaja kemahiran dan badan dia yang besar dan tinggi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Merujuk kepada perlawanan menentang Hong Kong, Khalid Ali menyifatkan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika skuad negara mahu menyinar dalam kempen Kelayakan Piala Asia nanti.
“Semasa menentang Hong Kong, corak pertahanan kita amat lemah. Penyerang lawan tak begitu baik tapi pertahanan kita kucar-kacir. Hong Kong ranking paling bawah tapi kita boleh bergelut dengan pasukan itu apatah lagi nak bermain di kelayakan Piala Asia,” katanya.
Berdasarkan apa diperkatakan oleh Khalid, Malaysia bakal berdepan masalah besar jika pemain gagal menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan.
“Malaysia berada dalam Kumpulan E bersama Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.
“Kerja keras bukan hanya untuk hari ini atau esok, kita perlu menumpukan perhatian untuk empat tahun akan datang kerana separuh daripada pemain akan bersara.
“Jadi kita perlu memberi Pan Gon empat tahun jika mahu melihat kualiti yang baik.
“Saya lihat pemain seperti Arif Aiman dan Safawi Rasid mampu memberi impak, tetapi Guilherme De Paula, pemain yang banyak ‘tatu’ di badan, baik hantar dia balik untuk jaga pondok tol di Brazil,” tambah Khalid dipetik dalam NST.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.
Amaran Presiden FAM Kepada Pemain: “Jangan Lena Dibuai Dengan Sanjungan Dan Pujian”
Masalah Sinus Semakin Teruk, Syahmi Safari Terlepas Aksi Kelayakan Piala Asia 2023
Jurulatih Hong Kong Terkejut Dengan Corak Permainan Harimau Malaya