Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali mempertahankan aksi pemain naturalisasi, Guilherme De Paula ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 menentang UAE kelmarin.

De Paula dikecam hebat oleh peminat bola sepak tempatan selepas didapati gagal memberi impak dan langsung tidak berbahaya di depan gawang gol sehingga menyebabkan Malaysia tewas 0-4.

Namun begitu, Khalid menyifatkan jentera tengah skuad negara yang tidak berfungsi adalah punca utama kenapa De Paula gagal beraksi dengan baik kerana jarang menerima lorongan bola cantik daripada pemain tengah (Liridon Krasniqi) untuk melakukan rembatan ke arah pintu gol UAE.

“Pemain naturalisasi tidak memberi satu impak yang baik, tapi sebenarnya dia (De Paula) tiada sokongan sebab dia seorang di atas dan Liridon seorang sahaja sebagai tengah menyerang.

“Safawi Rasid pula tak dapat bermain dengan baik. De Paula cara dia main memang begitu sebab dia penerima bola. Jadi apabila dia terima bola, dia nak kena ada sokongan atau bantuan, tapi tiada,” katanya kepada Berita Harian. 

Pemain Tempatan
FOTO: FAM

Khalid juga berharap skuad negara beraksi dengan corak permainan menyerang ketika perlawanan menentang Vietnam kerana kemenangan amat penting untuk memastikan kemaraan Malaysia di pusingan ketiga.

Pada perlawanan menentang UAE, pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu lebih banyak bermain secara bertahan dan membenarkan lawan menguasai permainan.

“Kita tiada kepuasan dengan cara Malaysia main, nampak banyak bertahan. Sepatutnya tahap antarabangsa ini kita kena ada pemikiran dan sikap yang positif.

“Kita memberi peluang kepada UAE menunjukkan permainan yang baik sebab kita tak banyak menyerang dan mengasak. Jadi mereka lebih banyak mengawal bola dan menunjukkan pasukan mereka lebih berkualiti dari kita.

“Kita hanya bergantung kepada serangan balas, tapi pemain kita tidak begitu cergas, mungkin disebabkan cuaca panas dan pemain keletihan. Harap lawan Vietnam nanti kita boleh beraksi dengan lebih baik dan banyak menyerang,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah. 

5 Kelemahan Taktikal Malaysia Dalam Aksi Berdepan UAE

“Gerakan Serangan Balas Laju, Beri Banyak Ruang Punca Barisan Pertahanan Mudah Dieksploitasi.”

Luqman Hakim Dan Arif Aiman Wajar Diberikan Peluang Barisi Jentera Serangan Harimau Malaya