Nasib bekas pengendali Sri Pahang FC, Thomas Dooley dan pembantunya, Christophe Gamel yang sebelum ini seperti ‘digantung tak bertali’ selepas direhatkan selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super 2021 kini terjawab.

Hal ini kerana menurut sumber laporan My Metro sebentar tadi, kedua-dua tenaga import itu disahkan bakal ditugaskan membimbing skuad Piala Presiden kelab tersebut.

Dooley dilantik sebagai penasihat pasukan manakala Gamel pula akan bertindak selaku ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun itu.

Meskipun Dooley dan Gamel memiliki reputasi besar selaku bekas pengendali skuad kebangsaan Filipina dan Fiji, ia masih belum mampu untuk meyakinkan pengurusan tertinggi Sri Pahang untuk terus membimbing skuad utama.

Ia berikutan dua kekalahan berturut-turut yang dialami ketika bertemu Selangor dan Perak manakala para peminat pula beranggapan tindakan diambil Sri Pahang itu adalah berikutan kritikan pedas Dooley terhadap fasiliti kelab itu.

Sehubungan dengan itu, kekosongan tersebut telah diisi semula oleh bekas pengendali, Dollah Salleh yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan.

Dengan kembalinya Dollah sebagai ketua jurulatih, jawatan pengurus pasukan akan kembali dipikul oleh bekas pengurus sebelum ini, Datuk Che Nasir Salleh.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan Liga Super setakat ini, Sri Pahang hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan empat kekalahan untuk mengumpul lima mata bagi menduduki tangga kesembilan liga.

Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.

Prestasi Cemerlang Berbaloi, Tan Cheng Hoe Mahu Panggil Junior Eldstal Sertai Kem Latihan

Skuad Harimau Malaya Mahu Dapat Dua Dos Suntikan Vaksin Lebih Awal

Perak Pamer Kebangkitan, Tundukkan UiTM FC 3-2

Sumber