Ketika persiapan negara lain terjejas kerana penularan wabak COVID-19, skuad kebangsaan China satu-satunya pasukan yang telah menetapkan tarikh rasmi kem latihan pusat sebagai persediaan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022.

Menurut laporan daripada China Daily, ketua jurulatih iaitu Li Tie akan mengumpulkan semula pemain pada pertengahan bulan Mei. Ini merupakan fasa kedua latihan pusat selepas mereka membuat persiapan di Dubai selama 34 hari pada bulan Februari lepas.

Mereka akan berlatih di Shanghai selama dua minggu sehingga 31 Mei dan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang beberapa kelab Liga Super China.

533533_228658_800_450_jpg
Lie Tie mengendalikan sesi latihan skuad China pada bulan Januari lepas. FOTO: XINHUA

Li juga akan memanggil lebih ramai pemain naturalisasi untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukannya.

Antara pemain naturalisasi China ialah Ricardo Goulart (tengah), Alan Carvalho (penyerang), Aloisio (penyerang) dan Fernando Henrique (penyerang). Mereka telah pun menerima pasport warganegara China tahun lepas menurut laporan daripada Titan Sports Plus.

Bagaimanapun, daripada 4 pemain berkenaan, hanya Aloisio layak beraksi bersama China manakala Alan Carvalho, Ricardo Goulart serta Fernando Henrique perlu menunggu kerana belum menyelesaikan beberapa proses dokumentasi.

Selepas selesai kem latihan pusat, para pemain akan dilepaskan ke kelab masing-masing bagi membuat persiapan rapi menghadapi musim baharu Liga Super China yang dijangka akan bermula pada penghujung bulan Jun 2020.

Sejak minggu lalu, kes wabak pandemik COVID-19 di China mencatat penurunan mendadak sehingga kerajaan membuka semula wilayah yang telah ditutup sebelum ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Pemain Thailand Di J. League Kongsi Rutin Harian Ketika Tempoh “Lockdown”

Penjaga Gol Iran, Alireza Beiranvand Dipilih Sebagai Pemain Terbaik Asia Yang Beraksi Di Piala Dunia

Media Vietnam Berikan 4 Sebab Mengapa Sukar Untuk Nguyen Quang Hai Beraksi Di Luar Negara