Dunia bola sepak moden semakin terbuka dengan perubahan dan juga corak permainan yang terbuka jika sesebuah pasukan ingin menerapkan corak permainan yang menghiburkan.

‘Playmaker’ ibarat jantung satu-satu pasukan, dimana setiap serangan yang cuba dilakukan kebanyakannya bermula dari pemain yang paling kreatif di atas padang, di saat pemain-pemain lain seperti kebuntuan untuk melancarkan bola ke hadapan.

Apabila bola berada di kaki seorang ‘playmaker’, uniknya pemain dengan peranan ini masih mampu mencari ruang dan juga laluan hantaran yang tidak dijangka oleh pemain lain.

Untuk memberikan lebih pemahaman kepada anda, kami akan menghuraikan dengan ringkas mengenai jenis-jenis ‘playmaker’ yang ada dalam formasi dan taktikal bola sepak moden.

1) Deep Lying Playmaker (DLP)

‘Playmaker’ jenis ini akan berlegar-legar di kawasan pertahanan pasukan untuk membantu rakan-rakan jentera pertahanan bagi mendapatkan bola dan seterusnya menghubungkan pertahanan dengan pemain tengah yang lain.

Pemain ini memiliki semangat kerjasama dan daya kerja (workrate) yang tinggi untuk pantas membantu rakan-rakan keluar daripada tekanan yang hadir dari pemain-pemain serangan pihak lawan.

Mereka juga dalam pada itu turut berkeupayaan tinggi dalam mengawal tempo permainan jika dilihat pemain-pemain serangan masih belum bersedia untuk menerima bola. Pemain dengan jenis ini mempunyai kualiti hantaran yang cukup baik.

Contoh pemain ‘deep lying playmaker’ adalah Declan Rice, Joshua Kimmich dan Sandro Tonali.

2) Advanced Playmaker (AP)

Pemain kreatif ini berbeza dari DLP. AP akan banyak bermain di kawasan tengah dan juga bahagian serangan untuk mencari ruang dan peluang bagi membuat hantaran terakhir.

Untuk berada dalam ruang pertahanan pihak lawan dan memiliki bola di kaki, seorang pemain playmaker harus memiliki kemahiran menggelecek dan kepantasan yang baik untuk mengelak dari diasak pihak lawan.

Sekaligus, bola akan hilang dari kaki ‘playmaker’ jenis ini. Hal tersebut boleh memberi peluang kepada pihak lawan melakukan serangan pantas jika bola kerap hilang dari kaki seorang pemain perancang.

Kemahiran dalam menghantar bola di ruang yang terhad serti visi mantap pastinya ditagih dari baka pemain perancang ini.

Contoh pemain-pemain yang mampu bermain dengan baik sebagai Advanced Playmaker ialah Bernardo Silva, Kevin De Bruyne dan Sergej Milinkovic Savic.

3) Roaming Playmaker (RP)

Pemain perancang dengan jenis ini gemar meninggalkan posisi asalnya untuk mendapatkan bola dari rakan sepasukan, tanpa mengira sama ada ke bahagian pertahanan mahupun ke bahagian serangan.

Faktor yang penting untuk menjadi seorang RP yang baik adalah memiliki daya membuat keputusan tepat dalam tempoh masa yang singkat serta mengetahui lokasi yang memerlukannya untuk terlibat.

Apabila dikaitkan dengan pergerakan kemana-mana kawasan padang, pastinya stamina yang tinggi diperlukan sekiranya pemain ini ingin bermain sehingga wisel tamat perlawanan.

RP juga mampu memberi ruang yang besar kepada rakan pemain tengah yang lain sekiranya pihak lawan membuat tekanan secara ‘man to man’ ke atasnya.

Bruno Fernandes, Aurelien Tchouameni, Eduardo Camavinga dan Frenkie De Jong merupakan antara pemain yang mampu bermain sebagai RP.