Kelab Arab Saudi, Al-Nassr nyata belum puas dengan barisan pemain bintang yang dimiliki mereka apabila kelab itu dilaporkan mahu mendapatkan khidmat ketua pasukan Manchester City iaitu Kevin De Bruyne.

Menurut laporan Eurosport, Al-Nassr dikhabarkan sedia untuk memberikan tawaran luar biasa untuk memujuk De Bruyne agar menyertai mereka sekaligus beraksi dalam saingan Saudi Pro League.

Selain memberikan tawaran luar biasa, kelab itu juga akan memberikan penjelasan kepada pemain berusia 32 tahun itu mengenai projek jangka masa panjang mereka selain tidak perlu risau untuk menyesuaikan diri kerana Al-Nassr mempunyai pemain bintang lain yang pernah beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Cristiano Ronaldo, Sadio Mane dan bekas rakan sepasukan di City iaitu Aymeric Laporte.

Kevin De Bruyne sebelum ini menyatakan beliau gembira di City dan berhasrat untuk menamatkan karier bola sepaknya bersama juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) itu.

Musim 2022/2023 menjadi musim terbaik bagi De Bruyne dimana beliau memenangi tiga kejuaraan utama iaitu UCL, Liga Perdana Inggeris dan juga Piala FA.

Sebelum ini, seorang lagi pemain bintang EPL iaitu Mohamed Salah menolak tawaran untuk menyertai Al-Ettihad meskipun kelab itu menawarkan gaji yang lebih tinggi berbanding apa yang diterima oleh Ronaldo di Al-Nassr.

Melihat kepada perkara ini, kelab yang mempunyai kelebihan dari segi kewangan di Arab Saudi akan meneruskan usaha mereka bagi mendapatkan pemain bertaraf bintang untuk beraksi di liga negara itu.

Untuk makluman, Arab Saudi secara rasminya telah menghantar bidaan kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk menganjurkan temasya Piala Dunia 2034 dan setakat ini telah mendapat sokongan majoriti anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) termasuk Malaysia.