Seramai 24 pemain skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) dibawa menjalani latihan pusat di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada minggu lepas sebagai persiapan bagi menghadapi Pusingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 pada 2 hingga 10 November 2019 di Phnom Penh, Kemboja.

Sepanjang berada di Dubai, mereka telah menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan UAE B-19 bagi menguji kemampuan pemain berdepan lawan yang lebih kuat dari segi fizikal dan mengamalkan corak permainan pantas.

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney mengakui sudah ada gambaran barisan terbaik apabila beberapa muka baharu yang terlibat dalam kem latihan itu mempamerkan prestasi cemerlang sehingga menarik perhatiannya.

“Jelas sekali ada pemain yang mampu beraksi dengan baik pada tahap ini. Mereka tampil cemerlang dalam aksi persahabatan, jadi mereka benar-benar mampu berada dalam skuad terakhir. Namun, keputusan belum dibuat,” katanya dalam Stadium Astro.

EHF8lqrX4AAV6Cz
FOTO: UAE

Perlawanan pertama yang berlangsung pada hari Selasa lepas menyaksikan Malaysia melakar kejutan dengan menewaskan UAE, 1-0 hasil jaringan daripada pemain PKNP FC, Muhd Aidil Azuan pada minit ke 78.

Pada perlawanan kedua, Maloney dilihat telah menurunkan barisan pemain yang berbeza dengan mengandingkan pemain lama dengan pemain baharu. Keputusan perlawanan itu memihak kepada UAE, 3-1. Gol Malaysia dijaringkan oleh pemain daripada Akademi Mokhtar Dahari iaitu Muhammad Alif Abdul Mutalib.

Pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 ini, Malaysia diletakkan dengan Kumpulan G dengan tuan rumah, Kemboja, Thailand, Brunei dan Northern Mariana Islands.

Mereka dijadualkan menentang Kemboja pada 2 November, Brunei Darussalam (6 November), Northern Mariana Islands (8 November), sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 10 November.

“Setakat ini, perancangan kami berjalan lancar. Ketika ini, kami di landasan tepat dan akan meneruskannya. Apabila sampai ke Kemboja, kami akan mempersiapkan diri sebelum aksi pertama pada 2 November nanti,” tambah maloney.

Imbas kembali prestasi skuad Malaysia B-19 ketika dalam Kejohanan AFF B-18 pada bulan lepas. 

5 Pemain Malaysia Yang Menyinar Dalam Kejohanan AFF B-18 Pilihan Vocket FC

Jaringan Harith Haiqal Bawa Malaysia Mara Ke Final AFF B-18

Dua Jaringan Luqman Hakim Bantu Malaysia Tewaskan Australia

Sumber