Kejayaan skuad B-18 tahun negara muncul sebagai naib juara dalam kejohanan Piala AFF B-18 Tahun di Vietnam baru-baru ini menjadi satu sinar baru untuk bola sepak Malaysia khususnya. Meskipun gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, namun rata-rata peminat bola sepak negara kagum dengan prestasi yang ditampilkan oleh para pemain.
Oleh yang demikian, kami akan menyenaraikan lima pemain yang telah menyinar sepanjang kejohanan AFF B-18 tahun berlangsung.
1. Luqman Hakim Shamsudin
Luqman menampilkan aksi cemerlang dimana kepantasan serta kelicikan beliau di bahagian serangan sukar dikawal oleh mana-mana barisan pertahanan lawan. Pemain berusia 17 tahun ini berjaya menyumbangkan 4 gol sepanjang kejohanan dan beliau menjadi harapan utama untuk menerajui jentera serangan skuad kebangsaan pada masa hadapan.
2. Firdaus Khaironnisam
Firdaus berjaya mengawal bahagian tengah pasukan negara dengan baik dimana beliau membentuk satu gandingan mantap bersama Mukhairi Ajmal. Anak kepada bekas pemain pertahanan negara, Khaironnisam Shahabudin itu turut menyumbang dua gol lebih tepatnya ketika Malaysia menewaskan Singapura.
3. Mukhairi Ajmal
Sama seperti Firdaus, Mukhairi memainkan watak penting di bahagian tengah pasukan negara dimana beliau dianggap sebagai enjin yang menggerakkan segala gerakan yang direncanakan. Mukhairi turut menjalankan tugas dengan baik apabila diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan.
4. Harith Haiqal
Tenang namun keras. Itu adalah gambaran yang wajar diberikan kepada Hairth kerana beliau seringkali menyukarkan pemain serangan pihak lawan untuk menembusi benteng pertahanan negara.
5. Sikh Izhan Nazrel
Izhan menampilkan aksi bertenaga ketika perlawanan akhir menentang Australia dengan menafikan beberapa percubaan yang dilancarkan oleh pemain lawan.
Itulah dia 5 pemain negara yang paling menyinar sepanjang kejohanan Piala AFF B-18 Tahun. Apa yang pasti, kelima-lima pemain ini perlu mendapatkan pendedahan serta beraksi di luar negara bagi memastikan mereka meningkatkan lagi kualiti serta kemampuan yang dimiliki.