Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Afandi Hamzah dalam perancangan mahu melakukan perjumpaan empat mata bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam susulan sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua yang dikenakan ke atas Kelantan.
Hukuman sekatan itu diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas Kelantan dan satu lagi pasukan Liga Premier Sarawak mengulangi kesalahan melanggar tarikh akhir pendaftaran pada 31 Disember 2018 buat kali kedua berturut-turut.
Jelas Afandi, KAFA bagaimanapun tetap berterima kasih atas toleransi MFL yang mengurangkan hukuman pemotongan jumlah geran tahunan kepada 10 peratus.
Namun, mereka tetap berharap badan pentadbir liga itu mampu melakukan sesuatu untuk membantu pasukan Kelantan dengan mempertimbangkan untuk membenarkan pertukaran pemain skuad kendalian Yusri Che Lah itu pada jendela kedua bermula 2 hingga 29 Mei depan.
“Kita tetap ingin berterima kasih atas pertimbangan MFL yang mengurangkan pemotongan jumlah geran tahunan kepada 10 peratus.
“Tetapi apa yang saya lebih risau sekarang ini adalah sekatan perpindahan pemain yang memang boleh menjejaskan persiapan pasukan secara keseluruhan.
“Apatah lagi Kelantan kini di prestasi merudum dan sekiranya sekatan perpindahan ini dikekalkan, pastinya akan memberi lebih banyak masalah kepada pasukan dan saya tetap berharap MFL dapat menerima permintaan kami ini.
“Kafa sendiri memang sudah merancang nak datang berjumpa dengan Kevin dalam masa terdekat bagi berbincang dengan lebih mendalam perkara ini untuk bantu kami”, katanya.
Keputusan Rayuan Tujuh Pasukan https://t.co/uztgMnwOZ8
— VOCKET FC (@vocketfc) May 2, 2019
Terdahulu, sebanyak 7 pasukan dikenakan hukuman susulan kegagalan pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.
Keputusan rayuan menyaksikan hanya Kelantan dan Sarawak dikekalkan sekatan perpindahan pemain dan pemotongan sebanyak 10 peratus daripada jumlah geran tahunan termasuk Melaka.
Denda pemotongan geran ke atas Kuala Lumpur, Felda United FC, dan Pulau Pinang pula dikurangkan kepada 5 peratus berbanding hukuman asal 50 peratus.