Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares nyata berang dengan jadual Piala AFC 2022 yang disusun oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sehingga menganggap badan induk bola sepak di Asia itu memihak kepada Kuala Lumpur (KL) City.
Rasa tidak puas hati itu disuarakan oleh pengendali kelahiran Portugal tersebut selepas beliau melihat KL City memiliki rehat yang lebih berbanding pasukannya.
Malah, Tavares melihat ibu pejabat AFC yang berpangkalan di Kuala Lumpur juga menjadi antara sebab skuad kendalian Bojan Hodak itu mendapat kelebihan.
“Pada bulan April, jadualnya ialah bertemu Kuala Lumpur pada 24 Jun dan 30 Jun menghadapi pasukan lain (Tampines Rovers),” ujar Tavares menurut laporan dikeluarkan Goal Indonesia.
“Lalu sesuatu telah terjadi pada bulan Mei, dimana telah berubahnya jadual. Kami bermain pada 24 dan 27 Jun. Ini merupakan satu kebetulan yang cukup ketara.”
“Sekiranya anda ingin menunjukkan kami bermain di pertandingan besar, perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Saya berharap AFC tidak membiarkan hal seperti ini berlaku lagi di masa akan datang.”
“Satu kebetulan juga [pejabat] AFC ada di Kuala Lumpur yang mungkin dapat mengubah keputusan itu.”
“Saya membayangkan pasukan Kuala Lumpur tidak perlu bertandang ke Singapura atau Indonesia kerana anda sudah berada di sini. Jadi, saya tidak faham mengapa mereka mempunyai jurang enam hari dalam jadual perlawanan. Sedangkan pasukan lain hanya tiga hari.”
“Saya tidak merasakan ia bagus buat imej AFC. Sekiranya anda mahu membantu, lebih baik membantu dengan cara lain,” tambah Tavares lagi.
PSM Makassar akan berhadapan dengan KL City pada aksi sulung jam 8.00 malam ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Zinedine Zidane Dedahkan Sebab Utama Tak Mahu Bimbing Man Utd