Isu tunggakan gaji yang melanda beberapa kelab dalam Liga Super musim ini nampaknya memberi kesan yang buruk dari segi jumlah pasukan bertanding untuk saingan musim depan.
Baca Juga:
- Pasukan Liga Super ‘Sangkut’ Gaji Diketahui Pada 19 Oktober
- Tempat Kedua Liga Super 2023 Sah Ke Pentas Asia
- Liga Super 2023: JDT Cemerlang Raih Kejuaraan Ke-10
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, pihaknya mungkin terpaksa mengurangkan jumlah pasukan demi menjaga imej liga.
Masalah kewangan yang dihadapi oleh beberapa pasukan ketika ini turut memberi kesan dari segi pelesenan kelab kerana mereka perlu memenuhi kriteria ditetapkan oleh MFL.
“Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United adalah disebabkan oleh masalah dalaman mereka.
“Jadi, jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia akan berlaku,” kata Stuart dipetik dalam Bernama.
Unit Pelesenan Kelab MFL, First Instance Body (FIB) dijangka akan mengumumkan pasukan yang berjaya meraih lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim 2024/25 dalam masa terdekat.
Melalui pengumuman tersebut, pasukan yang ‘sangkut’ dalam pembayaran gaji pemain bakal diketahui jika mereka tidak memenuhi kriteria MFL dari segi kewangan.
“Kita harap semua pasukan yang bertanding dalam Liga M tahun ini memahami kriteria pelesenan kerana ia bukan perkara baharu.
“Tahun lalu pun kita ambil keputusan yang tegas dan perkara itu akan disambung untuk tahun ini bagi memastikan liga kita tidak mengalami isu gaji.
“Semua pasukan sudah melengkapkan dokumen, sekarang adalah proses untuk meneliti maklumat dalam dokumen,” jelas Stuart Ramalingam.
Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan Liga Super alami kelewatan gaji antara sebulan hingga tiga bulan yang nyata menyukarkan kehidupan pemain.