Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mencatat keputusan seri 1-1 ke atas kelab gergasi dari Rusia, Spartak Moscow semalam.
Keputusan itu ibarat memberi amaran awal kepada pasukan lain bahawa JDT kali ini lebih kuat dan sedia melangkah jauh dalam saingan AFC Champions League (ACL) yang akan bermula pada bulan April nanti.
Dalam perlawanan menentang Spartak Moscow, skuad Harimau Selatan diperkuatkan oleh 6 pemain import yang terdiri daripada Mauricio Dos Santos, Shane Lowry, Bergson da Silva, Leandro Velazquez, Moussa Sidibe dan Fernando Forestieri.
Lebih menarik, perlawanan itu turut disaksikan oleh pemilik Spartak Moscow yang juga seorang jutawan syarikat minyak dari Rusia, Leonid Arnoldovich Fedun. Pasukan ini dibimbing oleh bekas pembantu jurulatih Chelsea dan Itali iaitu Paolo Vanoli.
JDT bermula dengan baik apabila terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Bergson pada minit ke 23. Penalti itu diberikan setelah Fernando Forestieri dikasari oleh pemain pertahanan lawan.
15 minit kemudian, berlaku sedikit insiden pergaduhan berpunca daripada terjahan keras oleh pemain Spartak Moscow, Sobolev sehingga membangkitkan kemarahan Natxo Insa yang berang dengan tindakan tersebut.
Walaupun pergaduhan itu berjaya dileraikan namun beberapa pemain lawan dilihat tidak berpuas hati dan sering kali menggunakan kelebihan fizikal untuk mengasari pemain JDT.
Kelab dari Rusia tersebut nampak lebih tertekan dalam perlawanan itu kerana mereka tidak sangka pasukan dari negara yang tidak pernah layak ke Piala Dunia mampu memberi saingan sengit.
Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada JDT setelah Spartak Moscow gagal menembusi benteng pertahanan dikawal oleh Mauricio dan Lowry sambil dibantu oleh kecemerlangan Farizal Marlias yang tangkas menjaga gawang gol.
Di separuh masa kedua, Spartak Moscow melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan rekrut baharu mereka, Christopher Martins dan bintang Belanda, Quincy Promes serta penyerang Nigeria, Victor Moses.
Manakala JDT memasukkan Akhyar Rashid bagi menggantikan tempat Forestieri dan Moussa Sidibe ditukar dengan Bienvenido Maranon. Safiq Rahim juga sempat beraksi dalam perlawanan ini selama 8 minit bagi menggantikan tempat Leandro Velasquez.
Perlawanan kemudian berlangsung dengan lebih rancak dan beberapa asakan berbahaya dilakukan. Usaha Spartak Moscow mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 selepas bola sepakan sudut disudahkan oleh Aleksandar Sobolev.
A look at our goal from today's friendly ⬇️pic.twitter.com/5Ee2tv7l3m
— FC Spartak Moscow (@fcsm_eng) February 5, 2022
Laman twitter Spartak Moscow turut mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila mereka mendedahkan Harimau Selatan cuba membuang masa dalam perlawanan ini. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Time being wasted in a friendly, seen it all now 🙏#SpartakJohor | 🇷🇺 1-1 🇲🇾
— FC Spartak Moscow (@fcsm_eng) February 5, 2022
Mauricio Dos Santos juga menarik perhatian media dari Rusia kerana beliau merupakan bekas pemain Spartak Moscow pada musim 2016/2017 dan sempat bertukar jersi dengan Promes selepas tamat perlawanan.
Secara keseluruhan, Harimau Selatan menamatkan kem latihan pra musim di Dubai, UAE dengan 1 kemenangan, 3 keputusan seri dan 1 kekalahan. Ia keputusan yang cukup positif dan pengendali JDT, Benjamin Mora kini sudah mempunyai bayangan barisan terkuat yang akan diturunkan dalam saingan Liga Malaysia bulan depan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT ketika jelajah pra musim di Dubai melalui pautan dibawah.
JDT Seri Menentang MSK Zilina, Aksi Moussa Sidibe Curi Tumpuan