Juara bertahan Liga Super, JDT memulakan aksi pra musim pertama dengan keputusan seri apabila terikat 2-2 ketika menentang kelab dari Slovakia, MSK Zilina di Stadium Al Hamriya Sports Club, Dubai semalam.
Dalam perlawanan ini, skuad Harimau Selatan diperkuatkan oleh dua pemain import baharu di separuh masa pertama iaitu Fernando Forestieri dan Bienvenido Maranon. Mereka bermula dengan baik dan terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal 30 saat.
Gol pertama itu dijaringkan oleh Bergson Da Silva setelah menerima hantaran cantik daripada Arif Aiman di sebelah kanan.
Jaringan tersebut membangkitkan semangat skuad Harimau Selatan dan mereka terus menguasai perlawanan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, JDT membuat pertukaran pemain dengan memasukkan semua barisan simpanan. Mereka dilihat bermain dengan formasi 3-5-2 dimana Mohamadou Sumareh berganding dengan pemain import baharu, Moussa Sidibe di bahagian serangan.
Manakala Aidil Zafuan, Shahrul Saad dan Adam Nor Azlin beraksi di posisi pertahanan tengah serta dibantu oleh S. Kunalan dan Azrif Nasrulhaq. Nazmi Faiz kali ini mengetuai bahagian tengah bersama Afiq Fazail serta Hong Wan.
Bagaimanapun, Zilina berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 61 melalui jaringan Timotej Jambor sehingga menyebabkan Azrif Nasulhaq tertampan bola ke gawang sendiri.
Namun begitu, Moussa Sidibe berjaya meletakkan JDT di depan apabila merembat masuk gol kedua hasil hantaran cantik daripada Nazmi Faiz pada minit 62. Kelibat Sidibe cukup berbahaya dan sering kali memberi masalah kepada benteng pertahanan MSK Zilina.
Malah, aksi lincah pemain dari Sepanyol itu turut mengundang pujian dan rasa teruja dalam kalangan penyokong JDT yang menyaksikan siaran langsung perlawanan itu melalui laman You Tube. Mereka menyifatkan Sidibe mampu gegarkan saingan Liga Malaysia musim ini.
Hasrat JDT untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan tidak menjadi kenyataan apabila MSK Zilina sekali lagi menyamakan kedudukan melalui rembatan S. Javorcek dalam kotak penalti pada minit ke 88 selepas menerima hantaran sudut.
Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan JDT bakal menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang kelab dari Latvia, Riga FC pada 29 Januari 2021.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Tiada Lagi Zainal Abidin, Melaka United Umum Risto Vidaković Sebagai Ketua Jurulatih Baharu
Tiga Pasukan Liga Super Bakal Berentap Dalam Piala Menteri Besar Terengganu
FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak