Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Abang Zulkarnain Abang Abdurahman mendedahkan pengadil perlawanan Liga Super diantara Sri Pahang menentang PJ City di Stadium Darul Makmur melakukan kesilapan yang menyalahi undang-undang permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut laporan Berita Harian, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil telah mendapati jaringan penyamaan PJ City disahkan berada dalam keadaan ‘offside’ dan pengadil perlawanan tidak sepatutnya membenarkan jaringan tersebut.
“Mengikut laporan daripada Penilai Pengadil, prestasi dan persembahan pengadil adalah baik di sepanjang perlawanan kecuali keputusan membenarkan gol berkenaan pada minit ke-85.
“Selepas kita membuat penelitian menerusi rakaman video, memang keputusannya itu salah kerana gol itu dijaringkan dalam keadaan ofsaid iaitu pemain PJ City FC mengganggu pemain lawan dengan cara perlakuan yang jelas memberi impak terhadap kemampuan pihak lawan untuk memainkan bola.
“Hanya sekiranya pemain PJ City FC yang berkedudukan ofsaid itu tidak berada dalam laluan bola atau jauh daripada penglihatan penjaga gol lawan, maka ia tidak menjadi satu kesalahan ofsaid,” kata Abang Zulkarnain dipetik dalam Berita Harian.
Jawatankuasa Pengadil FAM akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengadil berkenaan.
86' GOL | PJ City FC memperolehi gol penyamaan menerusi rembatan voli R. Barathkumar!@OfficialPahang 1-1 @pjcityfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/4PfyK2eHb3
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 9, 2022
Penjaga garisan pada mulanya telah mengangkat bendera sebagai tanda offside. Kemudian, pengadil mengubah keputusan dan membenarkan gol itu setelah dikerumuni oleh beberapa pemain dan pegawai PJ City FC.
Kesilapan yang dilakukan oleh pengadil tersebut menyebabkan Tok Gajah kerugian mata dalam dua perlawanan berturut-turut. Sebelum ini, mereka ‘dirompak’ ketika perlawanan menentang Kedah di Alor Star yang menyaksikan pengadil dan penjaga garisan menerima hukuman tegas oleh FAM.
Laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil tersebut dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan pasukan Sri Pahang FC.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan
Masalah Tunggakan Gaji Ganggu Fokus Melaka United Dalam Saingan Liga Super
Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19
Yusri Che Lah: Ada Pemain Jual Motosikal Untuk Kelangsungan Hidup
Disahkan Kanser, Brendan Gan Beri Sokongan Kepada Louis van Gaal