Tonggak terbaharu Kuala Lumpur City FC, J. Partiban, memberikan nasihat kepada pemain-pemain muda yang sukar mendapat peluang bermain jangan terlalu takut untuk berhijrah ke pasukan lain jika mahu mengembangkan karier ke tahap lebih baik.

Menurut pemain berusia 29 tahun ini, dia pernah melalui pengalaman yang sama pada enam tahun lalu apabila berhijrah dari Perak ke Sarawak pada musim 2015 dan bersyukur keputusannya itu memberikan peluang yang lebih baik bagi dirinya mencipta nama di pentas Liga Malaysia.

Dari Sarawak, dia berjaya menambat hati Terengganu untuk beraksi selama dua musim yang diakui Partiban menjadi antara detik penting membuatkan dirinya kian dikenali ramai peminat di Liga Malaysia termasuk membantu pasukannya mara ke final Piala Malaysia 2018.

Pentas
Sumber Gambar: Perak TBG

“Saya ambil keputusan keluar dari Perak pada masa itu sebab mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan dan tahun pertama saya ke Sarawak, pada mulanya memang sukar hendak dapat terus dapat kesebelasan utama.

“Namun, saya berpuas hati dapat meraih banyak pengalaman di sana dan pada tahun 2017, saya ke Terengganu, di sanalah saya dapat peluang bermainan yang cukup banyak di bawah kendalian Irfan Bakti.

“Malah, saya mampu berikan prestasi yang cukup baik semasa di Terengganu dan waktu ini rasa segala-galanya berubah dalam karier apabila semakin ramai kenal dengan saya.

“Nasihat saya kepada pemain-pemain muda jika tidak dapat minit permainan semasa di awal pembabitan karier, jangan takut ambil keputusan untuk keluar mencari cabaran baharu.

“Tunjukkan bakat anda dengan pasukan lain dan daripada situ akan hadir peluang yang lebih baik malah bekas pasukan sendiri akan berikan tawaran jika anda sudah mempunyai pengalaman bermain,” katanya kepada MFL.

Kemuncak karier Partiban ialah pada tahun 2019 apabila kembali bersama pasukan lamanya, Perak dan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan oleh Tan Cheng Hoe.

Partiban yang merupakan bekas pemain Perak FC antara pemain yang akan memperkuatkan. KL City selepas pintu perpindahan kedua dibuka selain Kenny Pallraj, Ryan Lambert dan penyerang import dari Nigeria, Kyrian Nwabueze.

Mengenai persiapan dengan KL City bagi hadapi baki saingan Liga Super, pemain yang berasal dari Tambun, Perak ini mengakui segalanya berjalan sempurna dan sedia bersaing secara sihat dengan pemain lain bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Tambahnya, dia sedar perlu bersaing dengan seorang lagi pemain berpengalaman, Hadin Azman di posisi sayap kiri namun menganggap itu sebagai satu persaingan biasa di dalam bola sepak profesional.

“Adanya Hadin membuatkan saya akan bersikap lebih positif di dalam latihan kerana agak bagus sebenarnya tiap pasukan mempunyai dua pemain yang berkualiti di tiap posisi.

“Selain Hadin, Romel Morales juga boleh bermain di posisi sayap dan dalam latihan, semua orang berikan yang terbaik maka biarkan jurulatih buat keputusan memilih siapa yang lebih berhak untuk bermain.

“Di bawah Bojan Hodak, banyak pengalaman baharu yang saya raih kerana taktikalnya juga berbeza dan jika saya boleh ikut segala program yang diterapkan, saya rasa boleh menjadi pemain yang lebih baik di sini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Prestasi Cemerlang Bersama Skuad Kebangsaan Tingkatkan Keyakinan Khairul Azhan

JDT Dedahkan Pelan Lantai Dan Reka Bentuk Pusat Latihan Baharu Yang Serba Canggih

Dollah Salleh: Pemain Naturalisasi Masih Relevan

Natxo Insa Tampil Cemerlang, Tiba Masa Kembali Beraksi Bersama Harimau Malaya?