Penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid tidak leka dengan pujian ketika aksi bersama skuad negara sebaliknya kini ingin kembali fokus kepada saingan Liga Super yang bakal bersambung, Julai depan.
Penjaga gol berusia 32 tahun ini mengakui rindukan aksi sebenar di pentas antarabangsa apatah lagi dalam tempoh pandemik ketika ini dan peluang yang diperoleh untuk turun beraksi ketika menentang Thailand dalam aksi terakhir kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dimanfaatkan sebaiknya oleh Khairulazhan.
Aksinya mendapat pujian selepas berjaya mengawal gawang negara untuk Malaysia menang 1-0 ke atas Thailand dan kini dia mengharapkan mampu melakukan yang lebih baik untuk kelabnya pula sebaik sahaja Liga Super bersambung.
Apa yang pasti, tahap keyakinannya ketika ini lebih meningkat selepas mendapat aura positif ketika bersama skuad Harimau Malaya dan percaya akan dapat membantu Selangor meraih kemenangan dalam baki saingan liga nanti.
Penjaga gol @SelangorFC, Khairulazhan Khalid tidak leka dengan pujian ketika aksi bersama skuad negara sebaliknya kini ingin kembali fokus kepada saingan Liga Super yang bakal bersambung, Julai depan.
Baca lanjut ⤵#LigaSuper2021
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 23, 2021
“Sejujurnya, saya rasa saya masih belum bagus dan pemain-pemain yang berada di depan saya di atas padang pada waktu itu sebenarnya yang bagus di mana mereka bantu saya lebih yakin melakukan tugas ketika menentang Thailand.
“Saya ambil pujian yang diberi itu sebagai sesuatu yang positif untuk saya lebih maju dan lebih yakin pada masa hadapan baik untuk kelab dan skuad negara.
“Memang sudah lama kita nantikan aksi di pentas antarabangsa, dan apa yang saya sudah belajar ketika bersama skuad negara berjaya menaikkan lagi tahap keyakinan saya untuk bantu Selangor pula bagi meraih kejayaan di pentas Liga Super,” katanya kepada MFL.
Sejak bersama Selangor bermula musim 2016, bekas penjaga gol Pahang ini belum pernah merasai sebarang kejuaraan bersama The Red Giants dan impiannya itu belum pernah tertutup untuk lebih bekerja keras pada musim ini.
Kali terakhir dia menjulang piala adalah ketika bersama Pahang sewaktu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2013 dan 2014.
“Memang semua pemain ingin buat yang terbaik untuk pasukan, saya juga ingin tengok Selangor lebih berjaya dan jika meraih kemenangan, memang bonus untuk kami.
“Cuma kita kena lebih usaha lagi untuk mencapai prestasi di tahap yang membanggakan dan untuk saya sendiri, saya memang mahukan kejuaraan selepas enam tahun masih belum rasa kejuaraan lagi.
“Saya rindukan kawan-kawan dalam pasukan selepas dua bulan tinggalkan mereka, dan selepas habis kuarantin ini, saya akan segera kembali kepada pasukan,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
JDT Dedahkan Pelan Lantai Dan Reka Bentuk Pusat Latihan Baharu Yang Serba Canggih
Natxo Insa Tampil Cemerlang, Tiba Masa Kembali Beraksi Bersama Harimau Malaya?