Penganjuran kejohanan Piala Dunia B-20 pada tahun 2021 bakal menjadi ujian terbaik kepada Indonesia untuk menguji kemampuan mereka mengendalikan acara berprestij dunia dalam sukan bola sepak.
Ia juga akan menjadi penanda aras kepada negara itu untuk mencapai impian menganjurkan Piala Dunia FIFA 2030 yang melibatkan skuad senior kebangsaan.
Menteri Belia dan Sukan Indonesia (Menpora), Zainudin Amali turut mendedahkan pihaknya mempunyai hajat besar untuk menganjurkan Piala Dunia satu hari nanti walaupun skuad garuda kini menghuni kedudukan 173 dunia dalam ranking FIFA.
“Ini hajat besar dari kita sebagai bangsa dan impian kita semua. Mari sama-sama membuktikan bahawa Indonesia aman, mampu mengendalikan acara berkelas dunia.
“Kita diuji, jika kita mampu ke depan, kita boleh menjadi tuan rumah Piala Dunia (senior),” katanya dalam Bolalob.
Pada bulan oktober 2019, delegasi Indonesia yang diketuai oleh Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan (SESMENPORA) iaitu Gatot S. Dewa Broto telah menghadiri mesyuarat khas yang melibatkan pegawai tertinggi sukan dalam kalangan negara ASEAN di Manila, Filipina.
Dalam pertemuan itu, mereka telah mencapai beberapa keputusan yang positif dan sepakat untuk menyokong pencalonan Indonesia sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034. Sebelum ini, Indonesia melalui Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sudah mengusulkan diri dengan Australia untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2034.
Gatot juga sempat mengadakan perbincangan untuk terus bekerjasama rapat dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bagi memastikan peluang mereka menjadi tuan rumah Piala Dunia cerah.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi Piala Dunia B-20, Zainuddin menjelaskan pihaknya sedang giat naik taraf infrastrukur di enam venue perlawanan yang telah dipilih bagi mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Untuk enam venue, masih diperlukan renovasi dari dalam atau luaran. Itu nanti akan dilaksanakan oleh KemenPURR (Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat) dari segi infrastruktur.
Sehingga hari ini, belum ada negara Asia yang telah menghantar permohonan rasmi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 dan Indonesia berpeluang menjadi yang pertama untuk membida hak penganjuran tersebut.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Tiga Pemain Naturalisasi UAE Dipanggil Sertai Skuad Kebangsaan