PSM Makassar nampaknya tidak akan berdiam diri apabila mengetahui insiden serangan yang melibatkan penyokongnya di Stadium KLFA, Cheras selepas perlawanan akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN menentang KL City kelmarin.
Pengurus PSM, Syahrir Nawir dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya telah membuat laporan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk tindakan lanjut.
“Pengurusan PSM Makassar mengutuk keras insiden serangan tersebut. Sebagai balasan, pengurusan PSM Makassar secara rasmi telah melaporkan insiden ini kepada pihak AFC.
“Mengenai pelaku dalam serangan tersebut di Malaysia, pengurusan PSM tidak menjustifikasi pelaku yang membaling dan memukul tersebut adalah penyokong kelab tuan rumah. Kami panggil mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, kelihatan segelintir penyokong KL City telah menyerang penyokong PSM Makassar yang sedang menunggu bas di luar kawasan Stadium KLFA, Cheras.
Malah, dua penyokong PSM Makassar dilaporkan mengalami kecederaan di muka dan cermin bas yang dinaiki oleh mereka turut pecah akibat dibaling batu.
“Penyokong tuan rumah, KL City tiba-tiba menyerang penyokong PSM Makassar yang menunggu di sekitar bas mereka selepas perlawanan berakhir. Dua penyokong PSM mengalami kecederaan, cermin bas yang dinaiki penyokong PSM juga pecah dibaling batu oleh penyokong tuan rumah,” kata akaun instagram dari Indonesia
Tidak dapat diketahui apakah punca serangan tersebut namun difahamkan ia dilakukan oleh sekumpulan samseng bola sepak yang digelar sebagai KL Casual. Golongan ini sering menimbulkan masalah setiap kali bertemu pasukan rival dalam Liga Malaysia.
Bagaimanapun, insiden tersebut juga telah menjatuhkan imej bola sepak Malaysia dan KL City mungkin berdepan hukuman berat daripada AFC.
Tidak mustahil kelab Malaysia dihalang daripada beraksi di pentas Asia jika budaya samseng bola sepak ini tidak dibendung yang bermula dari Liga Malaysia sendiri.
Baca artikel lain mengenai perkembangan KL City melalui pautan dibawah.
Piala AFC 2022: KL City Juara Zon ASEAN, Bawa Pulang 100,000 USD
Piala AFC 2022: ‘Tepisan’ Azri Ghani Bawa KL City Ke Pentas Final
KL City Berpeluang Ke Final Antara Zon Jika Dinobatkan Juara Zon ASEAN Piala AFC