Kejayaan skuad Kuala Lumpur City (KL City) mara ke Final Antara Zon Piala AFC 2022 selepas menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 semalam telah melonjak kedudukan Malaysia dalam ranking MA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Baca Juga:

Menerusi kemas kini terbaharu ranking MA oleh laman sesawang FootyRanking, Liga Malaysia telah menghimpun 49.722 mata dan naik satu anak tangga ke kedudukan 8 Asia serta berada di belakang Qatar (56.653 mata).

Malaysia juga kekal menjadi nombor 1 dalam kalangan negara Asia Tenggara dengan Vietnam berada di belakang (44.656 mata) diikuti Thailand (40.261 mata), Singapura (20.429 mata), dan Indonesia (14.702 mata).

Di peringkat Asia Timur pula, Malaysia berada di tangga keempat terbaik di belakang Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong manakala China serta Australia jatuh teruk ke kedudukan bawahan.

Hasil kemenangan semalam, KL City telah menyumbang 8.25 mata secara keseluruhan. Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang mara ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 turut menyumbang 3.76 mata.

Selain KL City dan KDA FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) juga merupakan penyumbang terbesar untuk mata AFC MA Ranking sebanyak 16.00 mata selepas mereka berjaya mara ke peringkat 16 terbaik AFC Champions League musim ini.

Kedudukan tertinggi dalam AFC MA Ranking ini memberikan lebih banyak slot untuk pasukan Liga Malaysia dalam pertandingan AFC Champions League (ACL) musim 2024/25.

Ia bermakna Liga Malaysia sah diberikan slot 2+2 iaitu 2 slot automatik ke peringkat kumpulan ACL dan 2 slot lagi ke peringkat play-off.

Walaupun UAE mampu memintas Malaysia dalam kedudukan AFC MA Ranking namun slot 2+2 tetap kekal menjadi milik negara kerana berada di Zon Asia Timur.

Malah, Malaysia juga berpeluang menambah lebih banyak mata jika KL City lakar kejutan mara hingga ke perlawanan akhir sekaligus menyamai rekod JDT dengan menjuarai Piala AFC 2022.

KL City dijadualkan bertemu kelab dari Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh pada 5 Oktober ini. Satu lagi akhir Final Asia Barat menemukan kelab dari Oman, Al Seeb menentang kelab Bahrain, Al Riffa pada 4 Oktober.