YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz yang bakal mengemudi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempunyai misi besar terhadap sukan popular tanah air tersebut.

Dipilih sebulat suara oleh ahli majlis BAM untuk menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Tengku Zafrul difahamkan akan memulakan tugasannya pada Januari 2024.

Menurut sumber laporan Berita Harian, beliau yang tuurt menjawat jawatan selaku Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri meluahkan rasa terujanya dapat bersama dengan badan induk badminton negara itu.

“Saya dengan rasa rendah diri amat menghargai keputusan yang dibuat oleh ahli majlis BAM. Saya teruja untuk bertemu dengan mereka.”

“Sukan menyatukan semua. Selain bola sepak, badminton juga adalah sukan utama yang boleh menyatukan semua.”

“Saya mahu lihat perkara itu di Malaysia,” ujar Tengku Zafrul dipetik laporan Berita Harian.

Norza sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk mengundur diri selaku Presiden BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai lalu kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Tetapi dengan perkembangan terkini mengenai pelantikan Tengku Zafrul, ia memberikan isyarat jelas bahawa Norza mahu memberikan laluan kepada penggantinya dengan lebih awal.

Beliau mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada tahun 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Sumber