Teka-teki mengenai jawatan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terjawab apabila Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dipilih sebagai Presiden baharu badan induk itu.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu akan menggantikan tempat Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mulai Januari tahun depan.

Norza sebelum ini mengumumkan mengundur diri selaku Presiden BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai lalu kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Untuk rekod, Norza mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

Pengalaman luas yang dimiliki oleh Tengku Zafrul dalam dunia korporat boleh membantu BAM mendapatkan lebih banyak tajaan selain memimpin badan induk itu ke arah yang lebih baik.

“Nasihat saya kepadanya ialah beliau perlu berusaha untuk memahami ekosistem badminton, bertemu semua pihak yang berkepentingan, jurulatih pentadbir dan pemain untuk mendapatkan inpu mengenai apakah yang perlu diperbaiki.

“Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah. Itulah sebabnya kami memerlukan seseorang yang cukup kuat dan bersemangat untuk mengekalkan status kami sebagai salah satu kuasa badminton,” kata Norza dipetik dalam Bernama. 

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, Norza juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.