Selepas berdamai dengan Kenny Goh, hari ini menyaksikan Roslin Hashim turut melakukan perkara sama terhadap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai.
Baca Juga:
- Roslin Hashim Beri Bayangan Terdapat ‘Parasit’ Dalam Badminton Negara
- BAM Fail Saman Fitnah, Roslin Mahu Habis-Habisan Perjuangkan Badminton Negara
- Misbun Sidek Terima Lima Tawaran Dari Luar Negara
Nama Kenny dan Chin Chai menjadi perhatian apabila Roslin sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kedua-dua individu penting dalam BAM itu.
Bagaimanapun, pendedahan yang berbaur provakasi dilakukan Roslin itu telah menyebabkan BAM memfailkan saman fitnah terhadap bekas pemain nombor satu dunia tersebut.
Namun keadaan jelas berubah dengan sekelip mata sebaik sahaja proses perbicaraan saman tersebut bermula pada 5 September lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kedua-dua pihak akhirnya mengambil keputusan untuk berdamai dimana Roslin turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pegawai BAM tersebut.
“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Ng Chin Chai,” ujar Roslin menurut sumber laporan BH Online.
“Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya sebagai seorang peguam dan pegawai Persatuan Badminton, terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.”
“”Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Ng Chin Chai melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali.”
“Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Ng Chin Chai dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Ng Chin Chai serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Datuk Ng Chin Chai.
“Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa -apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Datuk Ng Chin Chai,” tambah Roslin Hashim lagi.