Tugasan Datuk Haji Misbun Sidek sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) sudah sampai ke penghujung apabila mencapai persetujuan bersama untuk berpisah bermula 1 Ogos ini.

Keputusan itu diambil selepas skuad remaja negara gagal beraksi cemerlang dalam Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia yang berlangsung baru-baru ini.

Ia berikutan kekalahan Malaysia ke atas juara bertahan, Thailand 0-3 pada peringkat suku akhir.

Perkembangan terkini tersebut disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan di laman sosial rasmi badan induk badminton negara itu.

Kembali buat kali kedua bersama BAM pada Jun 2017, Misbun Sidek telah dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan berselang tiga tahun kemudian untuk mencurahkan segala ilmunya buat para pemain muda.

“Misbun telah menjadi contoh dalam peranannya sebagai pengarah pembangunan,’’ kata Pengerusi Pasukan Task Force BAM, Datuk V Subramaniam.

“Sejak hari beliau dilantik, beliau berkhidmat dengan penuh semangat dan komited terhadap pembangunan pemain muda kami. Kami berterima kasih atas sumbangan beliau dan berterima kasih atas jasa beliau.

“Bagi pihak BAM dan seluruh Majlis, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Misbun dalam usaha beliau pada masa hadapan.’’

“Kami berharap dia akan terus menyumbang kepada permainan badminton pada tahun-tahun akan datang.’’

Keputusan drastik yang diambil BAM itu dirungkai selepas pasukan Task Force duduk semeja berbincang selama lima jam.