Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata terdapat tiga negeri tidak bersetuju dengan cadangan untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia di stadium mereka, sebaliknya kekal menggunakan rumput sedia ada.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco Belia dan Sukan negeri bagi menaik taraf padang stadium bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.

Ketika menjawab pertanyaan pembangkang di Dewan Rakyat semalam, Hannah berkata setakat ini hanya negeri Sarawak sahaja yang telah menyatakan persetujuan untuk menanamkan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium mereka.

“Sehingga kini, hanya negeri Sarawak sahaja yang telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan rumput Zeon Zoysia ini. Negeri negeri yang tidak bersetuju adalah Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang yang mahu mengekalkan penggunaan
rumput sedia ada.

“Manakala negeri-negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga mereka betul-betul yakin bahawa kos dan penyelenggaraan rumput tersebut tidak membebankan untuk jangka masa panjang,” jelasnya kepada Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.

TMJ Padang
FOTO: HRH Crown Prince of Johor

Menurut Hannah Yeoh, negeri lain bukan tidak berminat tetapi memerlukan masa untuk mengkaji tentang kos penyelenggaraan secara keseluruhan.

“Saya bagi contoh mungkin satu negeri A, mereka hanya perlu naik taraf sistem saliran. Untuk B, mungkin mereka hanya perlu naik taraf soil (tanah) dekat situ.

“Oleh sebab itu, tawaran yang kita berikan adalah untuk kos rumput sahaja dan mereka tidak kata mereka tidak berminat. Kebanyakan negeri kata mereka hendak tunggu dahulu untuk kaji dari segi kos penyelenggaraan setiap bulan, sama ada kerajaan negeri itu mampu atau tidak untuk teruskan projek tersebut,” jelas Hannah Yeoh.

Penukaran kepada rumput Zeon Zoysia ini adalah berdasarkan amalan terbaik negara-negara di Asia Tenggara, antaranya seperti Singapura, Thailand dan Indonesia yang telah pun menggunakan rumput Zeon Zoysia.

Rumput Zeon Zoysia adalah antara rumput berkualiti tinggi dan tahan lasak yang dicadangkan KBS untuk ditanam di padang bola sepak stadium semua negeri.