Hubungan keruh bersama pengendali skuad kebangsaan Maghribi, Vahid Halilhodzic bermula September lalu menyaksikan Hakim Ziyech memilih untuk mengumumkan persaraannya daripada kancah bola sepak antarabangsa.
Keputusan yang diambil tersebut nyata bukanlah satu kejutan besar buat para penyokong Maghribi kerana pemain sayap lincah berusia 28 tahun itu sudah dua kali diketepikan daripada menyertai skuad kebangsaan termasuklah ketika menghadapi saingan Liga Negara-Negara Afrika 2022 baru-baru ini.
Hal ini kerana Halilhodzic secara terbuka mengkritik Ziyech dengan mengatakan tingkah laku pemain tersebut tidak mencerminkan keperibadian seorang pemain profesional.
Pengendali kelahiran Bosnia itu mendedahkan Ziyech sering lewat ke sesi latihan pasukan dan berpura-pura mengalami kecederaan meskipun pasukan perubatan mengesahkan beliau berada dalam keadaan baik.
“Saya memahami mereka [penyokong], tetapi saya tidak akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan Maghribi dan ini adalah keputusan muktamad daripada saya,” ujar Ziyech menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Semuanya jelas bagi saya keadaan di sana dan saya fokus terhadap apa yang saya lakukan pada ketika ini, ini adalah kelab saya [merujuk kepada Chelsea].”
“Pada akhirnya, ia adalah merupakan keputusan yang dia [Vahid Halilhodzic] ambil dan anda perlu untuk menghormatinya. Namun, di sisi lain, semua pembohongan yang datang daripadanya, bagi saya, dengan jelas saya tidak akan kembali ke skuad kebangsaan.”
“Saya memahami dan memohon maaf buat para penyokong tetapi inilah situasi yang perlu untuk dihadapi,” tambah Hakim Ziyech lagi.
Ziyech kini bersama skuad Chelsea berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu bagi merebut Piala Dunia Kelab FIFA dan The Blues bakal berhadapan kelab Arab Saudi, Al Hilal, awal pagi esok.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:
EPL: Manchester United Turun Ke Tangga Ke-5 Selepas Diikat Pasukan Tercorot
Barcelona Dapat Tajaan €280 Juta Dari Spotify, Nou Camp Akan Menjadi Nou Camp Spotify