Peluang Hakim Ziyech untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan Maghribi kelihatan sudah pun tertutup selagi Vahid Halilhodzic masih bergelar pengurus negara dari benua Afrika itu.
Hakikat tersebut perlu diterima Ziyech apabila Halilhodzic secara terang-terangan mengkritik sikap buruk pemain yang kini merupakan antara sandaran utama buat Chelsea itu.
Perang dingin antara dua figura penting bola sepak Maghribi itu bukanlah satu rahsia lagi kerana Ziyech pernah diketepikan daripada skuad kebangsaan bagi menghadapi tugasan antarabangsa bertemu Sudan dan Guinea pada September 2021.
Kemarahan pengendali kelahiran Bosnia tersebut tidak berhenti di situ dan kelihatan semakin memuncak apabila Ziyech turut tidak disenaraikan dalam kempen Piala Negara-Negara Afrika yang menyaksikan perjalanan Maghribi sekadar di peringkat suku akhir.
Halilhodzic menganggap sikap yang ditunjukkan Ziyech langsung tidak mencerminkan keperibadiannya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.
“Para pemain yang saya pilih adalah yang terbaik dalam negara ini,” ujar Halilhodzic menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Saya tidak akan memilih pemain yang akan membuatkan pasukan menjadi tidak seimbang. Walaupun namanya ialah Lionel Messi.”
“Tingkah laku Hakim Ziyech jelas tidak sesuai dengan standard kami. Dia tidak mahu untuk menjalani latihan. Dia tidak serius dalam banyak perkara. Saya memang tidak akan memanggilnya semula [menyertai skuad kebangsaan].”
“Selepas kejohanan [Piala Negara-Negara Afrika] tiga tahun lalu, dia yang paling banyak menerima kritikan. Dia dicemuh. Anda tidak boleh melupakan perkara tersebut,” tambah Halilhodzic lagi.