Kelmarin, Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) mengumumkan bahawa penyerang kelahiran Brazil, Guilherme De Paula telah didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.
Pengesahan itu telah membuka peluang kepada pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memanggilnya ke kem latihan pusat selepas bergelar sebagai pemain naturalisasi ketiga selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.
Bagaimanapun, De Paula enggan memikirkan tentang skuad kebangsaan buat masa ini kerana fokusnya kini adalah untuk membantu Perak hadapi musim baharu Liga Malaysia yang akan bermula pada 5 Mac ini.
Namun begitu, beliau sedia menampilkan aksi terbaik jika mendapat panggilan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan depan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan memudahkan proses ini (naturalisasi) selama ini. Saya sangat gembira, begitu juga keluarga saya yang gembira berada di sini.
“Saya dan keluarga sudah menganggap Malaysia umpama rumah kami dan saya sudah lama berada di negara ini sejak 2015. Sudah tentunya ia perasaan yang sukar untuk diluahkan.
“Tetapi untuk bertanya mengenai pasukan kebangsaan, saya fikir biarlah jurulatih yang menentukan. Saya tidak mahu memikirkan buat masa ini, biarlah saya beri tumpuan dalam Liga M dulu.
“Namun jika ada panggilan, saya tetap sedia. Tapi macam saya katakan, fokus saya waktu ini adalah bersama Perak,” katanya dalam Arena Metro.
Disebalik pengumuman itu, timbul keraguan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang berasakan De Paula tidak layak mewakili negara kerana faktor usia. Tahun ini, beliau berusia 35 tahun dan mempunyai pengalaman beraksi dengan 18 buah kelab sepanjang karier bola sepaknya.
Mengulas mengenai isu itu, Tan Cheng Hoe berpendapat pemain ‘kuda tua’ itu tetap ada keperluannya dalam skuad negara kerana mempunyai kelebihan dari segi fizikal.
“Daripada segi fizikal dan penyudah De Paula, dia mampu memberi penyelesaian masalah di bahagian depan kami. Tetapi bukan jaminan dia akan berada dalam kesebelasan utama dan dia perlu bekerja keras seperti pemain lain untuk merebut tempat,” kata Cheng Hoe.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Lebih 5000 Helai Jersi Terengganu FC Telah Terjual, Jersi ‘Away’ Paling Laris
Thomas Dooley Terkejut Melihat Fasiliti Latihan Sri Pahang FC Yang Sangat ‘Miskin’
Tidak Sampai Satu Jam, Jualan ‘Online’ Jersi JDT 2021 Sudah Habis Dijual
Tan Sri Annuar Musa Dilantik Sebagai Presiden Kuala Lumpur United