Laku keras! Itulah perkara yang dapat mengambarkan tentang jualan jersi baharu Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) 2021 apabila kedua-dua jersi ‘home’ dan ‘away’ dilaporkan sudah habis dijual melalui laman web Shopee hari ini.

Sudah tentu para peminat setia skuad Harimau Selatan itu tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkannya kerana pemilik kelab, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berkenan untuk menanggung sebahagian kos jualan jersi tersebut yang boleh didapati dengan harga RM185 sahaja.

JDT

Difahamkan harga sebenar bagi jersi ‘Away’ versi pemain berharga RM429 dan sebanyak 500 helai kedua-dua jersi tersebut dijual secara dalam talian melalui JDT Store (Shopee) bermula pada pukul 11 pagi tadi namun kini ia dilaporkan sudah habis dijual.

Bagaimanapun, peminat masih boleh dapatkan jersi tersebut daripada pengedar rasmi di Stadium Larkin bermula pada pukul 2.00 petang tadi. Menurut sumber, hanya jersi ‘Home’ sahaja yang akan dijual manakala jersi ‘Away’ perlu dibeli melalui laman web nike.com atau pun http://store.johorsoutherntigers.com.my.

EvDEsjqU4AMMMlA
FOTO: Twitter Juan Bapakaw

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh JOHOR Southern Tigers sebentar tadi, JDT berjaya mencatat penjualan sebanyak RM1.6 juta pada hari ini dan mereka akan menambah semula stok jersi tersebut pada minggu yang akan datang.

“Kami juga berasa gembira dapat mencatatkan penjualan sebanyak RM1.6 juta.
Rakan kongsi kami Nike juga akan mula menjual jersi ‘home’ mulai esok tetapi memandangkan sambutan yang begitu luar biasa oleh penyokong JDT, kami menjangkakan jersi-jersi di sana juga akan habis dijual,” kata JST dalam satu kenyataan rasmi.

Jersi ‘Home’ JDT kali ini menampilkan kombinasi warna biru dan merah serta berkonsepkan berlian manakala warna putih menjadi warna utama jersi ‘Away’ disamping terdapat adunan kombinasi biru dan merah serta berkolar.

Lebih menarik, kedua-dua jersi ini mempunyai logo UNICEF, iaitu sebuah organisasi terkemuka dunia yang menjalinkan kerjasama dengan JDT untuk bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada kanak-kanak di Malaysia.

Berita mengenai jualan jersi yang sentiasa menjadi rebutan ini merupakan satu perkembangan yang positif bagi bola sepak tempatan. Tambahan pula, ini adalah koleksi jersi yang berbeza daripada edisi sebelumnya dan wajib dimiliki oleh para penyokong JDT.

Baca artikel lain mengenai perkembangan jersi pasukan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Penyokong ‘The Red Warriors’ Teruja Dengan Jersi Musim 2021 Sehingga Mahu Jadikan Sebagai Baju Raya

Laku Keras! 6000 Helai Jersi Home 2021 Selangor Sudah Habis Dijual Dalam Tempoh 48 Jam