Tragedi seorang peminat wanita di Iran yang meninggal dunia akibat membakar diri sebagai protes terhadap larangan untuk wanita memasuki stadium mendapat perhatian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dimana badan induk bola sepak dunia itu mahu mengadakan lawatan ke Iran.
Sahar Khodayari yang digelar “Blue Girl” kerana warna jersi pasukan kegemarannya, Esteghlal, meninggal dunia di hospital pada Isnin lalu selepas membakar dirinya di luar mahkamah di mana dia bimbang akan dipenjarakan selama 6 bulan setelah menghadiri perlawanan yang melibatkan pasukannya dengan menyamar sebagai lelaki.
Menurut laporan Reuters, jurucakap FIFA akan mengadakan pertemuan dengan pegawai bola sepak Iran sebelum pasukan itu berdepan Kemboja pada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 10 Oktober nanti. Namun, pertemuan tersebut bukan untuk membincangkan mengenai kematian Khoyadari.
Pegawai FIFA tersebut akan berbincang dengan FA Iran mengenai persiapan yang dibuat bagi membenarkan peminat wanita untuk memasuki stadium bagi menyaksikan perlawanan pada 10 Oktober nanti. Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini mendesak Iran agar mengambil langkah tegas untuk membenarkan wanita Iran dan asing memasuki stadium.
Kematian Sahar Khodayari menyebabkan kemarahan yang meluas di Iran dan juga di peringkat antarabangsa malah ada gesaan di media sosial supaya Persekutuan Bola Sepak (FA) Iran digantung atau diharamkan oleh FIFA.
Pemuzik popular Iran, Arash Sobhani, antara lantang bersuara dan beliau menggunakan media sosial untuk memprotes dan berkata bahawa Infantino perlu mengambil tindakan.
“Dia perlu bertindak dan buat apa yang betul. Haramkan persekutuan Iran sehingga mereka membenarkan semua wanita Iran pergi ke stadium. Mereka sepatutnya sama dengan lelaki,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:
Mongolia Cipta Sejarah Baharu, Kejutkan Myanmar Di Kelayakan Piala Dunia 2022
16 Venue Piala Dunia 2034 Di Asean Yang Boleh Dicadangkan Oleh AFF Kepada FIFA