Dalam keghairahan ASEAN yang berminat untuk menganjurkan Piala Dunia FIFA 2034 seperti yang diumumkan oleh Prayuth Chan-ocha, Perdana Menteri Thailand dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada 24 Jun 2019 yang lalu menimbulkan tanda tanya bagi ASEAN benar-benar mempunyai fasiliti yang sesuai untuk menganjurkan Piala Dunia, kira-kira 15 tahun akan datang.

Berdasarkan kajian asas yang dilakukan penulis, dengan 48 pasukan yang akan bermain seawal Piala Dunia 2026 di USA, jumlah stadium yang sesuai adalah sebanyak 16 stadium di sekitar Asia Tenggara, rumah bagi 640 juta orang penduduk. Mari kita lihat stadium mana yang sesuai untuk menjadi stadium keramat untuk mewakili negara masing-masing di ASEAN.

1. STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL – KUALA LUMPUR, MALAYSIA.
Kapasiti: 87,411 tempat duduk

Bukit Jalil

Stadium Nasional Bukit Jalil, tanpa segan silu lagi kita boleh nyatakan antara satu stadium berkelas dunia serta mempunyai sistem pengangkutan yang sangat efisien dengan keberadaan 2 stesen LRT iaitu stesen Bukit Jalil & stesen Sri Petaling dalam radius 1 km dari stadium.

Stadium yang terletak di Bukit Jalil ini. berwajah baru selepas satu fasa pembaharuan yang dibawa oleh YB Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Belia dan Sukan yang berjaya mengubah stadium ini menjadi fasiliti yang sama taraf seperti Allianz Arena, Stadium Wembley usai kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang lalu.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32, Suku Akhir & Perlawanan Akhir.

2. STADIUM GELORA BUNG KARNO
Kapasiti: 77,193 tempat duduk

Bung Karno

Stadium kebanggaan warga Republik Indonesia ini disiapkan pada 21 Julai 1962 dan telah menyaksikan pelbagai perlawanan yang melibatkan pasukan timnas Indonesia yang bermain di sini antaranya perlawanan akhir Sukan SEA 1987 yang menyaksikan Indonesia menang 1-0 ke atas Malaysia.

Stadium ini juga berada di pusat bandaraya Jakarta dan akses pengangkutan awam untuk ke stadium ini juga amat mudah dengan adanya stesen KRL Commuter ‘Palmerah’ dan stesen MRT ‘Istora Mandiri’.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32, Suku Akhir & Perlawanan Penentuan tempat ke-3/4

3. NATIONAL STADIUM, SINGAPORE
Kapasiti: 55,000 tempat duduk

Singapore Stadium

Tanpa perlu menyembunyikan lagi, National Stadium di Singapura ini antara stadium tercanggih di ASEAN dengan mempunyai bumbung bergerak yang boleh menutup padang jika keadaan hujan, stadium ini juga sangat strategik dengan berada di tengah-tengah bandaraya Singapura dengan akses pengangkutan yang sangat baik.

Dengan jolokan nama Singapura sebagai pusat bagi Asia Tenggara, sudah tentu ini merupakan aspek penting bagi mereka untuk membawa setidak-tidak perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2034 di negara mereka.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan Ke-32 & Separuh Akhir.

4. RAJAMANGALA NATIONAL STADIUM – BANGKOK, THAILAND
Kapasiti: 49,722 tempat duduk

Rajamangala

Stadium Rajamangala, yang menyaksikan Malaysia mengejutkan Thailand dengan mengikat Thailand 2-2 pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu, adalah sebuah stadium yang strategik kerana berada di tengah-tengah kotaraya Bangkok.

Bangkok seperti yang kita mempunyai lebih 20 juta orang pengunjung setiap tahun sudah pasti adalah antara destinasi hangat bagi orang-orang Eropah yang akan bertandang jika benar Piala Dunia 2034 akan diadakan di sini. Dengan akses pengangkutan Airport Rail Link, anda boleh sampai ke Rajamangala Stadium dengan berhenti di stesen Ramkhamhaeng.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Separuh Akhir.

5. STADIUM NEGERI PULAU PINANG – BATU KAWAN, MALAYSIA
Kapasiti: 40,000 tempat duduk

Batu Kawan

Stadium Negeri Pulau Pinang adalah satu lagi stadium yang sesuai untuk menganjurkan sebuah perlawanan Piala Dunia 2034 walaupun kedudukan mereka yang agak jauh daripada Georgetown yang sudah pasti akan dipenuhi dengan ratusan penonton Piala Dunia di samping melihat keindahan Pulau Pinang dan menikmati hidangan lazat di Restoran Kapitan Lebuh Chulia.

Berdasarkan Penang Transport Master Plan, sebuah laluan Bus Rapid Transit (BRT) yang menghubungkan Permatang Tinggi dan Batu Kawan sebagai stesen akhir bagi laluan itu, jadi dengan adanya laluan ini maka lebih mudah untuk semua penyokong untuk berada di stadium pada masa yang sesuai.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.

6. MY DINH STADIUM – HANOI, VIETNAM
Kapasiti: 40,000 tempat duduk

My dinh

Stadium My Dinh, stadium yang penuh dengan vuvuzela pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu adalah stadium rasmi pasukan kebangsaan Vietnam sejak tahun 2003. Stadium ini juga menyaksikan Vietnam mengikat Qatar 1-1 dan menang ke atas UAE 2-0 sebelum kalah 1-4 kepada Jepun dalam saingan Piala Asia 2007 di mana stadium ini turut digunakan untuk perlawanan suku akhir dan perlawanan akhir.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Suku Akhir.

7. STADION GELORA SRIWIJAYA – PALEMBANG, INDONESIA
Kapasiti: 23,000 tempat duduk (perlu ditambah kapasiti)

Gelora Sriwijaya

Dengan adanya LRT Palembang dengan stesen Jakabaring hanya 500 meter dari stadium tersebut, ini adalah bonus bagi penduduk pulau besar Sumatera untuk turut melibatkan diri dengan menjadi penonton dalam penganjuran Piala Dunia 2034. Stadium Gelora Sriwijaya ini pernah mempunyai 36,000 tempat duduk namun selepas pengubahsuaian stadium untuk Asian Games 2018 yang berlangsung di Indonesia, jumlahnya diturunkan sehingga hanya boleh memuatkan sekitar 23,000 orang sahaja dalam satu-satu masa.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32, & Pusingan ke-16

8. STADIUM SULTAN IBRAHIM – ISKANDAR PUTERI, MALAYSIA
Kapasiti: 40,000 tempat duduk

Stadium Sultan Ibrahim

Antara stadium yang ditunggu-tunggu untuk dirasmikan pada tahun 2020, hanya selepas 7 tahun kelab bolasepak Johor Darul Takzim ditubuhkan, stadium ini dibuat untuk menggantikan Stadium Tan Sri Haji Abdul Hassan Yunos di Larkin dalam usaha JDT untuk terus mengorak langkah profesionalisme. Stadium ini dicanang bakal menjadi salah satu stadium yang paling canggih dalam penjagaan kondisi padang, tempat duduk penonton, serta bilik persalinan yang bakal menjadi transit bagi bintang-bintang Piala Dunia di masa yang akan datang.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.

9. CHANG ARENA – BURIRAM, THAILAND
Kapasiti: 32,000 tempat duduk

Chang Arena

Stadium pasukan Buriram yang terletak jauh sedikit dari Bangkok namun amat sesuai untuk kota ini menganjurkan perlawanan Piala Dunia disebabkan Buriram juga kini merupakan penganjur MotoGP yang mana. Walaupun mereka hanya sebuah pekan kecil yang berpopulasi lebih sedikit dari 50,000 orang penduduk namun dengan adanya jaringan pengangkutan keretapi dari Bangkok dan lapangan terbang, ini sudah cukup untuk membantu Buriram menjadi salah sebuah stadium yang boleh dicadangkan oleh AFF.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.

10. THUWUNNA STADIUM – YANGON, MYANMAR
Kapasiti: 32,000 tempat duduk

Thuwuna

Thuwunna Stadium merupakan stadium kebangsaan bagi pasukan Myanmmar bagi bolasepak, stadium ini juga adalah yang pernah beberapa kali menjadi hos bagi kejohanan Piala AFF Suzuki dan beberapa kejohanan AFC. Namun, akses pengangkutan disini kelihatan agak terkebelakang, namun 15 tahun yang kehadapan adalah waktu untuk Myanmar membina jaringan pengangkutan yang lebih efisien.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.

11. NEW LAOS NATIONAL STADIUM – VIENTIANE, LAOS
Kapasiti: 25,000 tempat duduk (perlu tambah kapasiti ke 30,000)

Laos NT STadium

New Laos National Stadium adalah stadium utama digunakan untuk menganjurkan Sukan SEA pada 2009. Stadium ini berkapasiti agak kecil namun disebabkan ruang sekeliling yang masih ada, pengubahsuaian tidak mustahil boleh dilakukan.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan & Pusingan ke-32.

12. MORODOK TECHO NATIONAL STADIUM – PHNOM PENH, KEMBOJA
Kapasiti: 60,000 tempat duduk (stadium baru untuk Sukan SEA 2023)

Morodok Techo

Morodok Techo National Stadium adalah salah satu stadium baru yang mungkin boleh dimasukkan dalam senarai stadium yang boleh menganjurkan Piala Dunia 2034. Morodok Techo National Stadium kini sedang dibina dan dijangka akan dibuka pada akhir tahun 2022.

Stadium ini dibina untuk Kemboja kerana buat pertama kalinya mereka akan menganjurkan Sukan SEA 2023 dan ini merupakan satu detik buat Kemboja untuk melihat adakah mereka mampu untuk menganjurkan satu pertandingan sukan berskala besar.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Suku Akhir.

13. STADIUM HASSANAL BOLKIAH – BANDAR SERI BEGAWAN, BRUNEI DARUSSALAM
Kapasiti: 30,000 tempat duduk

Hasanal Bolkiah

Berada di antara Miri dan Kota Kinabalu, stadium ini bakal menjadi tumpuan rakyat Malaysia juga untuk mengambil peluang menonton Piala Dunia 2034 sekiranya perkara ini menjadi kenyataan. Ini adalah satu peluang yang sangat menarik buat Malaysia juga kerana ramai yang pasti akan memilih untuk menginap di Miri mahupun Kota Kinabalu sementara menunggu perlawanan Piala Dunia yang akan diadakan di Bandar Seri Begawan ini.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan & Pusingan ke-32.

14. NEW CLARK CITY STADIUM – CLARK, FILIPINA
Kapasiti: 20,000 tempat duduk (perlu tambah kapasiti ke 30,000)

New Clark Stadium

Manila, terlampau padat, itu satu kesimpulan yang boleh penulis simpulkan sehingga untuk membuat satu pengubahsuaian besar-besaran bagi Rizal Memorial Stadium pun hampir mustahil. Panaad Stadium di Bacolod City pula terlampau jauh daripada Manila. Maka Clark adalah sebuah bandar yang tepat untuk menjadi hos Piala Dunia yang dijangka akan mula dibida dalam masa terdekat ini dengan adanya New Clark City Athletics Stadium ini.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.

15. ZAYARTHIRI STADIUM – NAYPYIDAW, MYANMMAR
Kapasiti: 35,000 tempat duduk

Ziyarthiri

Zayarthiri Stadium yang berada di dalam Kompleks Sukan Zayarthiri juga merupakan satu lagi stadium yang berbumbung penuh di Myanmar. Ia terletak di Naypyidaw, pusat pemerintahan kerajaan Myanmmar. Stadium ini pernah menganjurkan banyak perlawanan bolasepak bagi Sukan SEA 2013 dan ini menjadi bukti Myanmmar turut terbuka dalam usaha mereka merapatkan jurang mereka dengan dunia luar. Aspek pengangkutan harus dijadikan agenda utama untuk meningkatkan peluang mereka dipilih.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.

16. STADIUM BARU – HO CHI MINH CITY, VIETNAM
Kapasiti: 40,000 tempat duduk (stadium baru)

Ho Chi Minh new Stadium

Vietnam adalah membina sebuah lagi stadium di Ho Chi Minh City dengan kapasiti sekitar 40,000 tempat duduk. Untuk menggunakan Thong Nat Stadium atau Dong Nai Stadium, amatlah sukar kerana kedua-dua buat stadium ini berada di sebuat kejiranan yang sangat padat dan proses untuk mengubahsuai stadium pasti akan mengalami kesukaran.

Jangkaan Perlawanan: Perlawanan Peringkat Kumpulan, Pusingan ke-32 & Pusingan ke-16.