Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mahu memastikan skuad Harimau Malaya diberi kawalan keselamatan tahap tertinggi bagi aksi Malaysia menentang Indonesia dalam kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September depan.

Pegawai media PSSI, Gatot Widakdo mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meminta pihaknya mempersiapkan kereta perisai ‘Barracuda’ untuk membawa barisan pemain dan jurulatih ke tempat perlawanan.

Bagaimanapun, PSSI berusaha untuk cuba memujuk FAM agar tidak menggunakan kenderaan itu kerana yakin perlawanan akan berlangsung dengan aman. Hal ini kerana ribuan anggota polis termasuk Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah dikerah untuk menjaga keselamatan di perkarangan Stadium tersebut.

“Jumlah anggota keselamatan sudah mencapai ribuan, tetapi Malaysia kelmarin tetap minta disiapkan kenderaan ‘Barracuda’ juga. Kami masih cuba untuk menyakinkan mereka dan mencari formulanya,” kata Gatot kepada CNN Indonesia. 

image (1)
Antara provokasi yang pernah dicetuskan oleh penyokong Indonesia. FOTO: UTUSAN MALAYSIA

Minggu lalu, FAM telah berkunjung ke Jakarta untuk berbincang dengan PSSI mengenai kuota tiket, hal keselamatan dan logistik. Pertemuan tersebut dihadiri oleh penolong setiausaha agung FAM, Abang Zulkarnain, ketua keselamatan FAM, M. Ashtar bin Rahim, dan pengurus skuad kebangsaan, Azfendy bin Azzuddin.

Setiausaha agung PSSI, Ratu Tisha mengesahkan pihaknya akan menyediakan 3000 tiket untuk para penyokong dari Malaysia. Menurut Gatot, PSSI merancang untuk mengadakan pertemuan kedua dengan FAM.

“Tapi memang dari pertemuan pertama, kami sudah yakinkan untuk menyiapkan strategi keamanan. Sebenarnya sama saja seperti pertandingan yang terdahulu, ia lebih kepada perbincangan untuk memberitahu ke mana laluan masuk penyokong Malaysia dan dimana mereka akan duduk termasuk media dari Malaysia.

“Media dari Indonesia dan Malaysia tidak ada pemisahan tempat duduk. Kami juga minta jumlah wartawan yang akan datang dari Malaysia,” tambahnya.

Sebelum ini, skuad Harimau Malaya terpaksa menaiki Barracuda ke Stadium Gelora Bung Karno dari tempat penginapan selepas dikepung oleh penyokong tuan rumah dan diba­ling objek keras ketika beraksi pada final Piala AFF 2010.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara dibawa menaiki barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

Tahun lalu, pemain skuad B-18 negara pula dibaling botol serta objek keras oleh peminat Indonesia yang tidak dapat menerima kekalahan pasukan mereka dalam separuh akhir Piala AFF Bawah 19 tahun di Jawa Timur.

Artikel lain berkaitan dengan perlawanan diantara Malaysia menentang Indonesia, baca disini:

PSSI Sediakan 3000 Tiket Untuk Penyokong Malaysia Di Stadium Gelora Bung Karno

Greg Nwokolo Yakin Indonesia Tewaskan Harimau Malaya Di Gelora Bung Karno

Penyokong Indonesia ‘Mengamuk’ Harga Tiket Perlawanan Indonesia-Malaysia Melambung Tinggi

Sumber