Pemain sayap Madura United, Greg Nwokolo melahirkan keyakinan tinggi terhadap barisan skuad Garuda yang dijadualkan menentang Malaysia pada perlawanan pertama kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September depan.

Minggu lepas, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah mengumumkan senarai 24 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat di Pakansari, Bogor bermula pada hari esok (21 Ogos). Mereka turut menyenaraikan 5 pemain naturalisasi iaitu Otavio Dutra, Victor Igbonefo, Beto Goncalves, Osas Saha dan Greg Nwokolo sendiri.

Setelah sekian lama tidak mewakili pasukan kebangsaan Indonesia di pentas antarabangsa, Nwokolo tekad memberikan yang terbaik dan membantu garuda mencatat kemenangan ke atas Malaysia dan Thailand bulan depan.

“Saya baru pulih daripada kecederaan dan sudah dua hari menjalani latihan. Sudah tentu saya bangga dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Saya mahu gunakan kesempatan ini untuk memberikan 100% terbaik dan membantu Indonesia menang di pentas antarabangsa,” katanya seperti dipetik dalam portal Bola Lob. 

Greg-Nwokolo
FOTO: BOSUWEB

Mengulas mengenai pertemuan menentang skuad Harimau Malaya, Nwokolo mahu pastikan tiga mata penuh menjadi milik Indonesia memandangkan mereka bermain di halaman sendiri dengan sokongan ribuan penyokongnya.

“Sasaran kami adalah membantu Indonesia menang. Kalau diberi kesempatan berada dalam kesebelasan utama, saya ingin menjaringkan gol atau menyumbang ‘assist’ kepada rakan sepasukan,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bukan mudah untuk menghadapi lawan dalam kumpulan G kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dengan barisan pemain yang berkualiti.

“Memang tidak ada yang mudah dalam kumpulan ini, UAE, Thailand, Malaysia, Vietnam. Mereka pasukan yang selalu dihadapi Indonesia. Saya lebih pilih melihatnya secara bertahap,” jelasnya.

Dalam saingan Liga Indonesia musim ini, Nwokolo telah menjaringkan dua gol dan empat ‘assist’ sekaligus membantu Madura United menghuni kedudukan keempat dengan 23 mata.

Indonesia lakukan pertukaran penjaga gol

Sementara itu, penjaga gol Bhayangkara FC, Awan Setho telah menarik diri daripada menyertai kem latihan pusat kerana dilanda kecederaan. Perkembangan itu disahkan oleh ketua jurulatih Indonesia, Simon McMenemy  dan mengumumkan Teja Paku Alam dari kelab Semeng Padang sebagai pengganti.

25005727_1466719266759115_21505777424400384_n-1-800×459
AWAN SETHO

“Awan mengalami kecederaan di jari kelingkingnya ketika sesi latihan bersama kelab. Dia memerlukan masa selama 4-5 minggu untuk pulih. Justeru itu, kami telah memanggil Teja Paku Alam dari Semen Padang,” katanya dalam laman web PSSI.

Senarai terbaharu barisan 24 pemain skuad Indonesia

Penjaga gol: Andritany Ardhiyasa, Teja Paku Alam, Angga Saputra

Pertahanan: Ricky Fajrin, Hansamu Yama, Otavio Dutra, Yanto Basna, Yustinus Pae, Johan Alfarizi, Andhika Wijaya, Victor Igbonefo

Tengah: Andik Vermansah, Evan Dimas, Febri Hariyadi, Manahati Lestusen, Rizky Pellu, Stefano Lilipaly, Zulfiandi, Irfan Jaya, Irfan Bachdim, Greg Nwokolo

Penyerang: Ferdinand Sinaga, Beto Goncalves, Osas Saha

Sumber