Delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah ke Singapura bagi mempelajari cara pelaksanaan video bantuan pengadil (VAR) bersama Persatuan Bolasepak Singapura (FAS).

Baca Juga:

Turut menyertai mereka selama dua hari itu ialah wakil Astro selaku penyiar rasmi Liga Malaysia.

VAR telahpun digunakan dalam saingan Singapore Premier League (SPL) bermula musim 2023 dan FAM sebelum ini memberi bayangan teknologi itu bakal hadir dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut kenyataan rasmi MFL, mereka telah mendapat banyak pendedahan serta maklumat tentang pelaksanaan VAR dari segi penyiaran, teknologi dan peranan pengadil.

“Pengarah Komersial FAS, Jonathan Wong memberikan penerangan awal berkenaan penggunaan VAR dalam pertandingan liga negara itu.

“Taklimat mengenai penyiaran serta teknologi dan sistem VAR pula disampaikan oleh Ketua Produksi & Kandungan FAS, Abhishek Ravikrishnan manakala Pengadil FIFA, Muhammad Taqi menjelaskan perihal peranan pengadil dalam operasi VAR.

“Kesemua peserta kemudian berpeluang untuk meninjau secara dekat operasi di pusat kawalan VAR di Stadium Jalan Besar,” tulis kenyataan MFL.

FAM juga sebelum ini mengumumkan beberapa pengadil tempatan bakal menjalani latihan untuk mengendalikan VAR pada tahun ini.

Keputusan ini diambil selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kali kelapan bagi penggal 2021-2025 yang dipengerusi oleh presiden badan itu, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sejumlah 20 Pengadil dan 10 Penolong Pengadil dari Kategori A dan A1 termasuk semua Pengadil FIFA (6 orang), Penolong Pengadil FIFA (8 orang) dan seorang Penolong Pengadil FIFA (Wanita) telah dipilih untuk Latihan dan ditauliah sebagai pengadil VAR pada tahun 2023.

Sebagai tambahan seramai 15 pengadil dan penolong pengadil akan turut dipanggil untuk mengikuti Latihan VAR pada tahun ini dan mereka akan ditauliahkan pada tahun 2024.