Belgium bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk melakarkan kemenangan 2-1 ke atas Denmark pada aksi Euro 2020 yang berlangsung di Stadium Parken, Copenhagen sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Roberto Martinez melangkah ke pusingan 16 bagi mengiringi Itali selepas mengungguli kumpulan B dengan enam mata, tiga mata meninggalkan dua pencabar terdekat, Rusia dan Finland.
Sesuatu di luar jangkaan bagaimanapun berlaku pada separuh masa pertama apabila pasukan ranking nombor satu dunia itu dilihat begitu bergelut untuk menghadapi tekanan hebat diberikan Denmark sejak dari awal permainan.
Keadaan tersebut turut menjurus kepada jaringan pembukaan seawal minit kedua oleh Denmark yang dihasilkan oleh Yussuf Poulsen berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan, Jason Denayer.
Hantaran dilakukan Denayer di kawasan sendiri berjaya dirampas Pierre-Emile Hojbjerg kemudiannya memberikan ruang buat Poulsen untuk melepaskan rembatan rendah yang sekali gus menewaskan penjaga gol, Thibaut Courtois.
Jaringan pantas tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Denmark untuk melancarkan asakan apabila dua percubaan dalam tempoh dua minit dijelmakan anak buah Kasper Hjulmand itu.
Percubaan jarak dekat susulan gerakan solo dari sebelah kanan pintu gol menerusi Joakim pada minit kelima dan tandukan Daniel Wass berselang seminit kemudian dinafikan penjaga gol tinggi lampai itu.
Percubaan Mikkel Damsgaard selepas berjaya melepasi kawalan tiga pertahanan pada minit ke-35 pula sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Belgium.
Kemasukan perancang kreatif, Kevin De Bruyne yang menggantikan Dries Mertens pada awal babak kedua nyata telah mengubah corak permainan Belgium.
Ia dibuktikan apabila beliau memainkan peranan penting dalam melorongkan bola yang cukup cantik dalam kawasan penalti bagi membolehkan Thorgan Hazard menolak masuk bola bagi kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-55.
Kredit juga harus diberikan kepada Romelu Lukaku yang menyumbang kepada terhasilnya jaringan tersebut berikutan larian dimulakannya dari sebelah kiri pintu gol Denmark.
De Bruyne kemudiannya muncul wira buat Belgium setelah ledakan kaki kiri dari luar kawasan penalti pada minit ke-70 tidak mampu dihalang penjaga gol berpengalaman, Kasper Schmeichel.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan meskipun Denmark selepas itu melakukan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol yang menyaksikan Courtois dan pertahanan Belgium kental bertahan sehingga wisel penamat ditiup pengadil dari Belanda, Bjorn Kuipers.
Seperti dirancangkan oleh Lukaku sebelum ini, perlawanan dihentikan selama seminit pada minit ke-10 sebagai tanda penghormatan buat Christian Eriksen yang kini masih mendapatkan rawatan susulan di hospital selepas beliau tiba-tiba rebah pada perlawanan menentang Finland, tempoh hari.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Euro 2020:
Euro 2020: Lewandowski Gagal Bantu Poland, Tewas Di Tangan Slovakia