Slovakia memanfaatkan kelebihan dimiliki apabila berjaya menundukkan Poland 2-1 pada aksi kumpulan E saingan Euro 2020 yang berlangsung di Gazprom Arena, Rusia sebentar tadi.
Diperkuatkan dengan kehadiran peledak berbisa Eropah, Robert Lewandowski dilihat masih belum cukup buat Poland untuk menghadirkan sesuatu yang positif pada perlawanan ini.
Beliau juga tidak mampu untuk menjelmakan sebarang percubaan tepat ke arah kubu Slovakia yang dikawal penjaga gol, Martin Dubravka.
Slovakia sebaliknya kelihatan lebih berbahaya pada awal permainan sehingga berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi jaringan sendiri Wojciech Szczesny.
Berpunca daripada gerakan solo di sebelah kanan pintu gol Poland dilakukan Robert Mak, beliau kemudiannya melepaskan rembatan yang terkena tiang gol lalu membias badan penjaga gol berusia 31 tahun itu.
Skuad kendalian Stefan Tarkovic itu terus menggandakan asakan dengan Juraj Kucka meledakkan rembatan dari luar kawasan penalti. Tetapi, percubaan baik itu hanya sedikit melewati palang gol pada minit ke-27.
Berselang enam minit kemudian, Kucka terus memberikan ancaman apabila melonjak tinggi bagi menanduk bola hasil hantaran Peter Pekarik, namun mudah buat Szczesny untuk menyelamatkan keadaan.
Kedudukan kembali terikat sebaik sahaja aksi babak kedua dimulakan selepas Karol Linetty menyempurnakan peluang susulan hantaran ‘cutback’ dalam kawasan penalti dilakukan Maciej Rybus.
Linetty hampir meletakkan Poland dihadapan pada minit ke-51 tetapi kali ini Dubravka lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan tersebut.
Poland dirundung malang ketika perlawanan memasuki minit ke-62 apabila pemain tengah, Grzegorz Krychowiak diperintah keluar padang berikutan kad kuning kedua diterima akibat kekasaran dilakukannya terhadap Jakub Hromada.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Slovakia untuk mendapatkan jaringan kedua pada minit ke-69 apabila tonggak pertahanan, Milan Skriniar melepaskan rembatan yang gagal dihalang Szczesny berikutan kegagalan Mateusz Klich mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Jaringan itu sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan bermakna buat Slovakia meskipun Poland selepas itu bertubi-tubi menjelmakan serangan ke kubu Dubravka.
Dua lagi pasukan dalam kumpulan E, Sepanyol dan Sweden akan membuat perhitungan pada jam 3.00 pagi nanti di Estadio La Cartuja de Sevilla.