Republik Czech menghampakan ribuan penyokong Scotland di Hampden Park apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 dalam saingan kumpulan D Kejuaraan Euro 2020, sebentar tadi.
Ketika pasukan tuan rumah disifatkan sebagai pilihan untuk meraih kemenangan pada perlawanan ini, skuad bimbingan Jaroslav Silhavy itu sebaliknya bijak menggunakan peluang terhidang untuk menjelmakan jaringan.
Aksi saling berbalas serangan ditampilkan kedua-dua pasukan menyaksikan Republik Czech terlebih dahulu menguji gawang Scotland menerusi pemain tumpuan, Patrik Schick.
Penyerang Bayer Leverkusen itu mendapat ‘cutback’ daripada Jakub Jankto dalam kawasan penalti, namun rembatannya berjaya dinafikan penjaga gol, David Marshall pada minit ke-16.
Berselang dua minit kemudian giliran Scotland pula membuat asakan apabila Lyndon Dykes melakukan percubaan setelah menerusi umpanan lintang Andy Robertson. Bagaimanapun, percubaan tersebut sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Penjaga gol Repulik Czech, Tomas Vaclik jelas memainkan peranan cukup penting setelah beliau bertindak cemerlang dalam menafikan enam percubaan tepat ke arah gol.
Penjaga gol berusia 32 tahun itu dengan tenang menyelamatkan percubaan jarak dekat dilepaskan Robertson ketika beliau tidak dikawal pertahanan pada minit ke-31.
Skuad kendalian Steve Clarke itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-42 apabila Schick berjaya menanduk masuk selepas menerima hantaran lintang daripada Vladimir Coufal sekali gus memisahkan kedua-dua pasukan.
Memasuki babak kedua, aksi lebih menarik disajikan apabila empat percubaan terhasil sebaik sahaja perlawanan bersambung dengan kedua-dua pasukan mendapat dua percubaan tepat ke arah gol.
Bagaimanapun, Marshall lebih bersedia untuk mengelakkan gawangnya daripada sekali lagi dibolosi dan Vaclik juga begitu kebal di posisinya.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-52, Patrik Schick mencuri tumpuan dunia setelah beliau meledakkan rembatan melencong dari tengah padang sehingga berjaya memerangkap Marshall yang sudah pun keluar daripada posisinya untuk gol kedua buat Czech.
Scotland selepas itu menggandakan usaha untuk mengurangkan defisit jaringan, bagaimanapun usaha keras mereka tidak mampu untuk menghasilkan jaringan sekali gus kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan.