Pengurus Manchester United, Erik ten Hag tanpa berselindung mengakui skuad kendaliannya harus menyalahkan diri sendiri ekoran tersingkirnya daripada saingan Liga Europa (UEL) 2022/23.
Baca Juga:
- UEL 2022/23: Sevilla Pastikan Manchester United Pulang Hampa
- Ten Hag Salahkan Pengadil Punca United Keciciran Mata
- Analisis: Taktikal Ten Hag Dan Peranan Casemiro Kunci Kejuaraan Man United
Seperti dilaporkan sebelum ini, kesilapan daripada Harry Maguire dan David De Gea menyaksikan The Red Devils tunduk 0-3 di tangan Sevilla dalam kunjungan ke Ramon Sanchez-Pizjuan Stadium.
Kekalahan 2-5 menerusi agregat itu sekali gus turut meranapkan impian wakil dari England tersebut untuk memburu kejuaraan UEL musim ini.
Sehubungan dengan itu, ten Hag turut mengakui kelemahan anak buah beliau sehingga menjurus kepada keputusan tidak berpihak kepada skuad bimbingannya.
“Amat jelas, apabila anda melakukan kesilapan seperti itu, ia sangat sukar untuk memenangi sesuatu perlawanan bola sepak,” ujar Erik ten Hag menurut laporan Goal.
“Malam ini kami kelihatan tidak bersedia untuk menghadapi perlawanan ini dan itu tidak seharusnya berlaku.”
“Ini adalah peluang yang hebat dan kesempatan buat kami untuk mencatatkan kemenangan dan kami hanya mensia-siakan peluang itu.”
“Kami seharusnya menyalahkan diri sendiri berikutan keadaan ini,” ujar ten Hag lagi.
Meskipun lebih menguasai permainan, Manchester United harus menyalahkan diri sendiri kerana kesilapan Maguire dan De Gea memberikan ruang seluas-luasnya buat tuan rumah untuk mencipta jaringan.
Youssef En-Nesyri mengambil kesempatan susulan dua kesilapan itu untuk menjaringkan gol pertama dan ketiga manakala Loic Bade pula menanduk masuk gol kedua ketika situasi sepakan sudut.