Manchester United kini memiliki sistem permainan yang lebih menarik dengan formasi yang lebih ‘fancy’. Namun dari segi keputusan di atas padang, pasukan tersebut masih belum dapat mengekalkan konsistensi dari segi rentak kemenangan.

Terbaru, skuad bimbingan Ralf Rangnick itu diikat oleh pasukan kelompok bawahan, Newcastle United.

Manchester United malah bernasib baik kerana Edinson Cavani sekali lagi menyelamatkan mereka. Serta tidak lupa aksi De Gea juga. Man United sempat ketinggalan di belakang dan berjaya mengelak daripada kekalahan dalam aksi yang seharusnya mereka menangi.

Dalam aksi yang berlangsung di St. James Park, Red Devils ketinggalan pada separuh masa pertama menerusi Allan Saint-Maximin. Mujur Edinson Cavani menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.

Keciciran mata sekali lagi bukan perkara yang diingini oleh Manchester United dalam usaha mereka mahu mengejar slot 4 teratas.

United terus kekal di kedudukan ketujuh dalam carta Liga Perdana dengan 28 mata setakat ini. Sementara Newcastle juga kekal di tempat ke-19 dengan 11 mata.

Newcastle United berjaya mengejutkan Man United menerusi bintang utama mereka, Allan Saint-Maximin mampu merobek gawang Red Devils pada minit ke-7, selepas menerima hantaran Sean Longstaff.

Saint Maximin melakukan cut inside dan melakukan lencongan dalam keadaan dia kehilangan keseimbangannya.

Tersentak dengan gol itu, Manchester United cuba membalasnya segera. Di mana Scott McTominay memaksa penjaga gol Newcastle melakukan penyelamatan pada minit ke-11, menerusi sepakan jarak jauh.

Kemudian, Manchester United bergelut dengan kreativiti dan juga ketajaman di hadapan gol.

Walaupun sangat dominan, Manchester United hanya melakukan ancaman sekali lagi pada lewat separuh masa pertama menerusi percubaan Mason Greenwood.

Hanya kira kira seminit aksi separuh masa kedua bermula, Allan Saint Maximin hampir meraikan gol keduanya. Namun David De Gea menafikan percubaan jarak dekat pemain itu.

Martin Dubravka kemudian menafikan percubaan oleh Marcus Rashford.

Tidak lama selepas itu De Gea sekali lagi menjadi wira penyelamat United apabila menyelamatkan percubaan daripada Ryan Fraser.

Gol penyamaan Manchester United akhirnya hadir pada minit ke-71 menerusi Edinson Cavani yang mengambil kesempatan daripada keadaan kelam kabut di hadapan gol.

Cavani hampir meletakkan Man United di hadapan, 3 minit selepas itu, malangnya percubaan beliau dihadang oleh pertahanan lawan.

Pada 10 minit terakhir, Newcastle tampil dengan aksi lebih mengancam. Namun gagal untuk menjaringkan gol.

Aksi berakhir dengan 1-1.