Manchester United meraih kemenangan pada aksi sulung dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 selepas berjaya menundukkan Wolverhampton Wanderers 1-0 di Old Trafford sebentar tadi.
Baca Juga:
- Roy Keane: Pemain Man Utd Seharusnya Rasa Malu
- Isteri Dedahkan Di Maria Pilih Ke Man Utd Hanya Kerana Wang
- Nani: Reaksi Ronaldo Untuk Tinggalkan Man Utd Perkara Normal
Tonggak pertahanan tengah, Raphael Varane muncul wira buat skuad The Red Devils hasil jaringan kemenangan yang dijelmakan pada minit ke-76 permainan.
Selain itu aksi tangkas dipamerkan penjaga gol, Andre Onana turut menjadi topik penting perbualan para peminat Manchester United dalam meraikan kemenangan sulung ini.
Cabaran pertama yang dihadapi itu bagaimanapun tidaklah hadir dengan mudah apabila pasukan pelawat dilihat lebih berbahaya dengan asakan ke arah pintu gol Manchester United.
Jentera tengah Manchester United yang dikemudi ketua pasukan, Bruno Fernandes dan Mason Mount juga dilihat tidak begitu berfungsi dengan baik.
Hakikat itu perlu diterima kerana Manchester United hanya mampu menghadirkan satu percubaan tepat pada separuh masa pertama menerusi Marcus Rashford meskipun menguasai permainan.
Manakala Wolves yang dibimbing Gary O’Neil pula seringkali menampilkan serangan balas pantas berbahaya ke arah pintu gol tuan rumah tetapi penyudah kurang baik jelas menjadi masalah buat mereka.
Dua serangan pantas dilancarkan tidak mampu disudahkan dengan baik oleh Matheus Cunha dimana dua percubaan pada minit ke-26 dan 33 sedikit tersasar.
Memasuki babak kedua, beliau sekali lagi mendapat peluang terbaik tetapi percubaannya di sebelah kanan pintu gol Manchester United sekadar singgah di tiang gol.
Onana kemudiannya bertindak cemerlang dalam menafikan rembatan leret Cunha ketika permainan di minit ke-55 dan Pedro Neto (minit ke-72).
Penyokong United melonjak kegembiraan berselang pada minit ke-76 selepas Varane tidak berdepan masalah untuk menanduk masuk bola hasil hantaran lambung oleh Aaron Wan-Bissaka bagi meletakkan mereka dihadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain Wolves menggandakan asakan untuk kembali mengikat kedudukan.
Namun, Onana cukup kental bertahan dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi terutamanya dalam menangkis dua percubaan Fabio Silva dalam tempoh satu minit serta rembatan Hwang Hee-Chan.
Keputusan itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil bertugas, Simon Hooper untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad kendalian Erik ten Hag itu.