Rekrut terbaharu skuad bawah 23 tahun (B-23) Watford, Mitchel Bergkamp tekad mahu lari daripada bayangan legasi bapanya yang merupakan legenda bola sepak Belanda, Dennis Bergkamp.
Mitchel yang baharu sahaja menandatangani perjanjian selama enam bulan dengan pilihan lanjutan kontrak, menyimpan tekad untuk membuktikan kualiti dirinya bersama kelab tersebut.
Pemain berusia 22 tahun yang beraksi di posisi tengah menyerang itu sebelum ini menyarung jersi kelab divisyen 2 Belanda, Almere City selama sembilan tahun.
Mungkin keputusan yang diambil untuk berkelana ke England ini mampu merintis langkah dalam menjadikannya figura hebat saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada satu hari nanti seperti dijelmakan ayahnya ketika bersama Arsenal.
“Sewaktu kecil memang amat sukar [sentiasa dibandingkan dengan Dennis] tetapi kini saya sudah menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut,” ujar Mitchel menurut laporan laman sesawang rasmi Watford.
“Itu hanya nama [keluarga] saya dan saya merupakan pemain yang lain dan diharapkan saya dapat meninggalkan legasi itu sendiri.”
“Dia merupakan ayah yang sangat hebat buat saya. Dia merupakan peminat nombor satu saya dan sentiasa ada memberikan sokongan kepada saya. Sangat beruntung memiliki ayah sepertinya dan dapat bekerjasama dengannya dalam permainan saya.”
“Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu dan saya benar-benar tidak sabar untuk menikmati cabaran baharu ini. Saya sangat gembira.”
“Ini adalah pengalaman yang luar biasa setakat ini. Fasiliti dan padang di sini juga sangat hebat dan saya berasa senang untuk berada di sini setiap hari,” tambah Mitchel Bergkamp lagi.
Lebih menarik untuk diperkatakan, Mitchel hadir ke Watford hanya sehari selepas kelab itu mengumumkan kehadiran anak kepada pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino yang berusia 19 tahun iaitu Maurizio Pochettino.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Dang Van Lam Teruja Jadi Pemain Vietnam Pertama Beraksi Di J1