Bintang futsal Thailand, Muhammad Osamanmusa secara rasminya akan berkelana ke Eropah selepas beliau telah diperkenalkan sebagai pemain baharu kelab Liga Futsal Sepanyol, Cordoba Futsal Club.
Pemain kacukan Thailand-Ghana yang sudah mengecapi pelbagai nikmat kejuaraan sepanjang bersama skuad kebangsaan Thailand itu diikat selama dua musim dengan kontrak sebagai pemain pinjaman daripada Black Pearl United.
Liga futsal utama Sepanyol bagaimanapun bukanlah terlalu asing bagi peledak berbisa berusia 24 tahun itu apabila beliau sebelum ini pernah menyarung jersi skuad Santiago Futsal pada musim 2017/18 dimana Osamanmusa turut berjaya menjaringkan gol pada penampilan pertamanya.
Selain itu, sebaik sahaja beliau meninggalkan Chonburi Bluewave untuk menandatangani kontrak dengan Black Pearl United, Osamanmusa kemudiannya berpeluang ke Cordoba untuk menjalani sesi percubaan pada Februari lalu.
Kemampuan hebat dimilikinya telah mencuri tumpuan ketua jurulatih, Jose Gonzalez yang menyifatkan Osamanmusa sebagai seorang pemain yang memiliki pakej lengkap diperlukannya.
“Dia merupakan seorang pemain yang cukup dominan, mempunyai fizikal yang cukup kuat dengan rembatan padu kedua-dua belah kakinya.”
“Dari segi bertahan, dia merupakan seorang pemain yang lengkap. Dia bergerak dengan baik dan sudah pasti dia akan menyesuaikan diri dengan amat mengejutkan nanti.”
“Kami mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap peluangnya. Dia akan membuatkan kami [Cordoba Futsal] semakin berkembang,” ujar Jose menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Cordoba Futsal.
Muhammad Osamanmusa merupakan rekrut terakhir buat kelab yang menamatkan saingan 2021/22 di tangga ke-11 itu selepas Fabio Alvira Perez (penjaga gol), Lucas Bolo dan Anderson Alves Carneiro da Silva ‘Pulinho’ dari Brazil.
Baca artikel lain mengenai sukan Futsal di bawah:
Piala Futsal Malaysia: Dominasi Berterusan Selangor MAC, Pahang Rangers Hampa Lagi
Falcao: Daripada Pemain Bola Sepak Yang Kecewa Kepada Ikon Futsal Terbilang