Selangor MAC terus membuktikan kejaguhan mereka apabila berjaya menjulang Piala Futsal Malaysia 2022 selepas menundukkan musuh ketat, Pahang Rangers 4-3 pada aksi final yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.
Ia merupakan piala ketiga dimenangi oleh Muhammad Fariq Mohammad dan rakan sepasukannya sejak kejohanan futsal profesional diperkenalkan bermula tahun 2019. Manakala, Pahang Rangers pula terpaksa menelan kepahitan sekali lagi berpuas hati di tempat kedua.
Seperti dijangka, aksi yang begitu sengit dan menarik dipamerkan kedua-dua kelab gergasi futsal tanah air ini sejak daripada awal permainan berlangsung. Tidak kurang hebatnya aksi panas dimana dua pemain telah dilayangkan kad merah pada minit ke-11 iaitu Saiful Nizam Mohd Ali (Pahang Rangers) dan Ekmal Shahrin dari Selangor MAC.
Pahang Rangers yang dibimbing Gerard Casas Ullastre bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan selepas Ridzwan Bakri mudah menolak masuk bola ketika beliau tidak dikawal dalam kawasan D lawan.
Bagaikan mendapat tonik berguna di bilik persalinan, Selangor MAC tampil dengan lebih baik pada babak kedua dengan Khairul Effendy Mohd Bahrin menyamakan kedudukan hanya selepas aksi dua minit bersambung.
Pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Ayon’ itu melepasi kawalan penjaga gol import, Victor Espindola dan kemudiannya melepaskan rembatan untuk menceriakan kem Selangor.
Memasuki minit ke-30, Khairul Effendy yang melakukan gerakan pantas selepas menerima hantaran Matheus Vasconcelos mengumpan bola dengan baik buat Firdaus Ambiah.
Firdaus yang mendapat peluang tersebut di hadapan pintu gol Pahang Rangers tidak berdepan masalah untuk melakukan percubaan melepasi celah kaki penjaga gol dari Brazil itu bagi meletakkan skuad kendalian Marcelo Serpa itu dihadapan.
Tidak sampai seminit, Khairul Effendy menjadikan kedudukan 3-1 hasil satu ‘setpieces’ cantik dicipta untuk sekali lagi mengecewakan Pahang Rangers. Firdaus kemudiannya mengukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-37 hasil percubaan voli cantik dilakukannya.
Ketinggalan dengan tiga gol jelas tidak merentap semangat Pahang untuk mendapatkan jaringan. Usaha mereka membuahkan hasil dengan dua jaringan daripada Muhammad Farhan Khairul Anuar dan Akmarulnizam Idris bagaimanapun ia masih belum mampu untuk menghalang Selangor MAC daripada merangkul kejuaraan.