Pahang Rangers mempamerkan aksi penuh bertenaga untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 7-3 pada aksi final pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang berlangsung di Kompleks Sukpa, Kuantan sebentar tadi.
Baca Juga:
- MPFL 2023: Atasi Selangor TOT United, JDT Mara Ke Final
- MPFL 2023: Pahang Rangers Kecewakan Selangor MAC Untuk Ke Final
- MPFL 2023: JDT Pamer Kebangkitan Atasi Selangor TOT United 7-5
Kelebihan empat gol dimiliki skuad kendalian Gerard Casas Ullestre itu dilihat mampu menjadi bekalan yang cukup berguna buat mereka menjelang pertemuan kedua di Pasir Gudang pada 14 Ogos nanti.
JDT bagaimanapun terlebih dahulu berada dihadapan apabila Awalluddin Mat Nawi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ketujuh.
Namun, kelebihan itu hanya mampu bertahan dua minit sahaja selepas Ahmad Harith Naim Nasir menolak masuk bola melepasi celah kaki penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohf Taufiq susulan hantaran Sergio Jamur bagi menyamakan kedudukan.
Penyokong tuan rumah terus ceria pada minit ke-11 berikutan jaringan kedua dihasilkan oleh Sufri Shamil selepas beliau mudah menolak masuk bola hantaran Amin Nasrollahzadeh.
Kedudukan kembali terikat ketika memasuki minit ke-15 apabila rembatan jarak jauh Abu Haniffa Hassan tidak mampu dihalang penjaga gol Pahang Rangers, Zainul Zahin Sinuan.
Kesilapan Azrul Hadee yang naik ke atas untuk membantu serangan dihukum oleh Sergio Jamur yang memintas bola hantaran penjaga gol tersebut lalu menyepak masuk bola daripada kawasan sendiri pada minit ke-18.
Jamur kemudiannya menjaringkan gol peribadi kedua untuk menjadikan kedudukan 4-2 hasil gol yang disumbangkannya pada minit ke-23.
Harith Naim jelas memainkan peranan penting pada perlawanan ini rembatan kaki kiri daripada jarak jauh pada minit ke-28 melebarkan kedudukan buat tuan rumah.
Tidak sampai seminit, Harith meledakkan jaringan daripada sudut sukar untuk melengkapkan hatrik buatnya.
Ketinggalan empat gol, JDT menggunakan taktikal ‘power play’ dan ia membuahkan hasil pada minit ke-35 menerusi jaringan Awalludin.
Taktikal itu bagaimanapun memakan diri berselang tiga minit kemudian dimana Harith Naim mengambil kesempatn untuk merampas bola dan sepakannya terus membolosi gawang JDT sekali gus mengesahkan kemenangan 7-3 memihak Pahang Rangers.